FAUZI…DULU BERGAJI MEKANIK, KINI MEMPEROLEH PENDAPATAN CEO!

ANAK jati Kampung Bakau Tua, Pulau Pinang ini asalnya seorang mekanik dengan Persatuan Automotif Malaysia (AAM). Pun begitu jauh di sudut hatinya, beliau tahu beliau mampu melakukan sesuatu yang ‘lebih’ dari itu.

Bagi Fauzi Lebai Bakar, 40, walaupun ketika itu beliau bekerja sepenuh masa dengan AAM, namun dia tetap membuat kerja sampingan untuk menambah pendapatan dengan membaiki kenderaan rosak di bengkel kawannya.

Lama kelamaan, Fauzi merasakan sudah tiba masanya untuk dia mengorak langkah lebih jauh dengan membuka bengkel sendiri. Dengan pengalaman sebagai mekanik di samping latarbelakangnya sebagai ‘budak vokay’, Fauzi tahu beliau mesti berbuat sesuatu dan tidak boleh berlengah lagi.

Namun masalah besar sudah tentulah modal. Maklumlah nak membuka sebuah bengkel kereta bukan mudah, apatah lagi kelengkapan peralatan dan mesin untuk membaiki kenderaan harganya bukan murah sedangkan kerja makan gaji sebagai mekanik bukanlah banyak.

Peluang yang ditunggu akhirnya tiba apabila Mara bersetuju untuk memberi pinjaman sebanyak RM150,000 berbentuk peralatan dan modal pusingan pada tahun 2006, sekaligus memberi peluang kepada Fauzi untuk merealisasikan impiannya sejak sekian lama.

“ Saya boleh mengambil jalan mudah untuk hanya bekerja dan menunggu duit gaji masuk pada setiap hujung bulan tetapi kenapa saya hanya perlu berbuat demikian sedangkan saya masih punya tenaga, punya pengalaman dan punya kemahiran.

“ Dengan modal ‘sulung’ itu saya buka bengkel MN Autoworks di Kampung Rawa, Pulau Pinang. Bukan mudah, maklumlah buka bengkel di tengah-tengah pusat bandaraya yang didominasi oleh mekanik-mekanik keturunan Cina. Apatah lagi dengan persepsi masyarakat yang kurang yakin dengan kemampuan anak bangsa sendiri.

“ Saya nekad membalas segala persepsi yang ada dengan memberi khidmat terbaik pada setiap pelanggan yang datang, ternyata ia berbaloi dan Alhamdulillah MN Autoworks terus berdiri megah di tengah kota Pulau Pinang, “ katanya terharu.

Berbalik pada soal modal yang sering dihadapi usahawan Melayu, Fauzi berkata, masalah utama ialah ketidakmampuan seseorang usahawan Bumiputera dalam menguruskan kewangan mereka terutama dalam membayar balik setiap pinjaman yang mereka dapat.

Katanya, sebenarnya agensi seperti Mara masih boleh berunding dalam soal pembayaran balik pinjaman dengan syarat mereka mesti ada kesungguhan untuk memajukan perniagaan yang diceburi serta pada masa sentiasa berusaha untuk membayar setiap sen yang mereka peroleh.

Kata Fauzi, beliau bukan sekali menerima bantuan Mara. Dua tahun selepas menerima pinjaman pertama, beliau sekali lagi menerima pinjaman daripada agensi tersebut. Kali ini tambahan sebanyak RM250,000 lagi. Pada tahun 2015, Fauzi menerima lagi RM100,000 daripada PERDA bagi mengembangkan perniagaannya.

Namun bagi Fauzi semua itu tentu mustahil diperolehnya sekiranya dia bukan seorang ‘pembayar yang baik’.

“ Kita kena ingat…duit itu bukanlah duit kita. Kita kena bayar balik supaya agensi bertanggungjawab boleh menyalurkan kembali kepada usahawan yang baru hendak memulakan perniagaan mereka. Orang dah bagi peluang, kita pula janganlah sia-siakannya,” kata Fauzi.

Dalam perkembangan yang sama, Fauzi bukan saja setakat menguruskan bengkel kereta, beliau juga kembali menyumbang kepada masyarakat dengan memberi ceramah-ceramah keusahawanan termasuk mengambil pelatih-pelatih industri untuk bekerja di bengkelnya.

 

Bagi Fauzi, pelaburan untuk sumber manusia juga penting kerana dengan memberi peluang sebeginilah, lebih ramai anak muda akan mempunyai peluang bukan saja untuk mempertajamkan kemahiran mereka tetapi pada masa yang sama mengasah bakat mereka dalam bidang keusahawanan.

“ Impian besar saya adalah untuk mewujudkan ‘empayar’ bengkel saya sendiri di setiap daerah-daerah…kalau boleh saya nak mempunyai mekanik sendiri di serata tempat, sama seperti mana majikan saya dulu iaitu AAM, “ katanya yang turut mempunyai cara tersendiri untuk menguruskan stress dan tekanan di bengkelnya.

Fauzi yang kebetulan mempunyai minat dalam muzik, telah membuat studio ‘jamming’ sendiri di bengkelnya bagi membolehkan para pekerjanya melepaskan tekanan sewaktu bekerja.

Ketika ditanya berapakah pulangan yang diperoleh bengkelnya pada setiap bulan, Fauzi berkata, secara purata beliau mampu membawa pulang hingga ke RM70,000 sebulan.

“ Sebenarnya perjalanan saya masih jauh dan banyak lagi cabaran yang perlu ditempuh. Angka yang dikatakan tadi juga bukanlah satu angka yang terlalu besar berbanding bengkel-bengkel milik pengusaha dan mekanik bukan Melayu di negeri ini. Apatah lagi di saat semua kos naik sekarang ini.

“ Namun berbanding pendapatan sebagai mekanik dulu, ia tetap merupakan satu pencapaian yang agak memberangsangkan. Namun ia bukan tiket untuk bermegah-megah sebaliknya ia perlu dijadikan semangat untuk terus berusaha dengan lebih gigih di masa akan datang,” kata Fauzi merendah diri.



from Syahril A. Kadir http://ift.tt/2mYX8CQ
via IFTTT