'Kami sekeluarga terima banyak tekanan, saya akan jelaskan perkara sebenar esok' - Bapa murid


"Saya belum bersedia, kami sekeluarga menerima terlalu banyak tekanan," katanya bapa kepada murid lelaki berusia 11 tahun yang didakwa menghadapi masalah disiplin sehingga menyebabkan Cikgu Azizan atau nama sebenar Azizan Manap, 44, diheret ke mahkamah, Oktober lalu. 

Lelaki berusia 50 tahun itu ditemui di rumahnya di Nilai mendakwa, mereka sekeluarga menerima banyak tekanan daripada pelbagai pihak selepas kes itu viral di media sosial. 

"Saya akan menjelaskan mengenai apa sebenarnya yang berlaku, esok," katanya yang tidak mahu ditemubual lebih lanjut. 

Terdahulu, Mahkamah Majistert Seremban membebas tanpa melepaskan Cikgu Azizan daripada pertuduhan mencederakan muridnya, April lalu. 

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad, memaklumkan pihak pendakwaan menerima arahan Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan. 

Cikgu Azizan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak didakwa sengaja menyebabkan kecederaan pada ppi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun yang dilakukan di hadapan tapak perhimpunan sekolah berkenaan pada jam 7 pagi, 6 April lalu. 

Cikgu Azizan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak, Md Fakarudin Ab Rahman meminta orang ramai tidak menghakimi murid terbabit dan keluarganya.

"Bapa murid berkenaan membuat laporan polis kerana diminta oleh pihak hospital selepas anaknya dibawa mendapatkan rawatan selepas kejadian.

"Dia sebenarnya hanya mengikut prosedur sehingga kes dibawa ke mahkamah. Bukan bapa murid itu yang menyaman Cikgu Azizan di mahkamah," katanya.

Beliau berkata, murid berkenaan dan keluarganya sewajarnya diberi peluang untuk meneruskan hidup dengan tenang selepas ini.


BERITA BERKAITAN:


from The Reporter http://ift.tt/2kIvv27
via IFTTT