Penjawat Awam mungkin akan kembali bekerja dari rumah (BDR), susulan peningkatan kes Covid-19


Kerajaan akan meneliti sama ada terdapat keperluan untuk penjawat awam bekerja dari rumah (BDR), kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.


Ia susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang kini melebihi kadar 20,000 kes sehari, angkara gelombang Omicron.


Menurut Mohd Zuki, perkara tersebut perlu dibincang dan diputuskan oleh mesyuarat jemaah menteri, sebelum boleh dilaksanakan kepada 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara.


“Saya tak boleh kata apa lagi tentang ini (BDR). Tetapi kita akan teliti sebab perkara ini kena dibincang di peringkat jemaah menteri dan kita akan patuh.


“Tetapi perkara paling mustahak untuk kita (penjawat awam) ialah patuh pada prosedur operasi standard (SOP) COVID-19. Ikut arahan yang diberikan pihak berwajib,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Kasih Keluarga Malaysia (Tanggungjawab Sosial Korporat) Jabatan Kastam Diraja Terengganu bersama Ketua Pengarah Kastam dan Ketua Setiausaha Negara, di Sekolah Kebangsaan Bukit Bayas, hari ini.


Pada majlis itu seramai 88 asnaf menerima bantuan dalam bentuk bakul makanan, wang tunai dan kerusi roda, yang disumbangkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.


Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pemasangan kamera badan terhadap anggota penguatkuasa JKDM, dijangka dapat dilaksanakan pada Jun ini.


Katanya, perkara tersebut akan dibuat secara berperingkat mengikut fasa, memandangkan ia melibatkan keperluan peruntukan yang besar.


“Untuk fasa pertama, kita jangka akan dilaksanakan kepada lebih 100 anggota penguatkuasa, termasuk juga kakitangan barisan hadapan yang bertugas di lapangan terbang dan sempadan,” katanya.


Sumber: Bernama



from The Reporter https://ift.tt/ArBQJT2
via IFTTT