Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dipecat, sumber dakwa pemecatan itu ada kaitan dengan insiden perselisihan dengan pegawai Imigresen di KLIA



Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd. Syafiq Abdullah dilapor telah ditamatkan perkhidmatannya yang berkuat kuasa sejak Isnin, 12 Disember 2022.


Berdasarkan dokumen yang tular di media sosial, kerajaan telah membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan Mohd Syafiq sebagai KPPA, Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred Utama Turus I (Memangku) demi kepentingan awam di bawah Peraturan 49(3), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib). Beliau juga dibersarakan mengikut perenggan perenggan 10(5)(D) Akta Pencen 1980 (Akta 227).


Menurut  satu sumber, tindakan itu diambil atas nasihat lembaga disiplin yang membuat keputusan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


“Bagaimanapun, kerajaan sebelum ini menunggu pilihan raya tamat sebelum membuat keputusan,” kata sumber kepada Free Malaysia Today.


Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 6 Ogos lalu telah mengarahkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat isu melibatkan Mohd. Syafiq dengan seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).


Jelas beliau, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali juga telah diminta untuk menentukan pemilihan ahli jawatankuasa tersebut bagi menyiasat dakwaan KPPA menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangan JIM.


Panel siasatan diketuai Peguam Negara Idrus Harun dan dianggotai Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki dan Ketua Audit Negara, Nik Azman Nik Abdul. Cadangan daripada jawatankuasa itu dibuat pada Oktober tetapi tiada maklumat mengenai keputusan tersebut.


Dalam kejadian 3 Ogos lalu, Mohd. Syafiq didakwa telah menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai JIM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam satu perselisihan faham di antara mereka. Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan insiden berkenaan mempunyai kaitan dengan pemecatan beliau.


Sumber: Kosmo Online, Free Malaysia Today



from The Reporter https://ift.tt/qMAusTG
via IFTTT