Exco Terengganu gesa Putrajaya salur terus bantuan banjir RM50 juta kepada kerajaan negeri, bukan kepada JPP



Kerajaan Negeri Terengganu sekali lagi menggesa bantuan banjir RM50 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, disalurkan terus kepada pihaknya tanpa perlu melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).


Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, gesaan itu dibuat bagi mengelak wujudnya dua entiti di samping melicinkan proses bantuan oleh kerajaan negeri bersama agensi Kerajaan Persekutuan. 


Beliau memberikan alasan bahawa pihaknya mempunyai perincian maklumat bagi mereka yang layak menerima bantuan dan terjejas akibat bencana banjir. Malah, amalan sebelum ini ketika di pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir, bantuan itu terus disalurkan kepada kerajaan negeri.


Tindakan kerajaan pusat menyalurkan bantuan banjir RM50 juta itu kepada JPP dianggap cuba mewujudkan satu perbezaan, sekali gus menegangkan hubungan di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri. 


"Jadi, apa salahnya wang itu disalurkan terus dan diuruskan oleh kerajaan negeri. Berdasarkan agihan bantuan sebelum ini, wang bantuan dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan disalurkan terus kepada kerajaan negeri sebelum disalurkan ke Pejabat Daerah, tidak 'singgah' ke JPP. 


"Barulah berlaku kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Hubungan kedua-duanya juga tidak semakin 'tajam'. Apa yang berlaku kini seolah-olah mewujudkan dua entiti dalam satu negeri, malah ia juga dilihat bersifat kepentingan politik," katanya. 


Malangnya di media sosial, netizen mengkritik tindakan kerajaan negeri Terengganu yang dilihat terlalu sibuk membuat gesaan yang remeh. Kata mereka, Perdana Menteri berbuat demikian kerana tidak mahu wang tersebut diseleweng untuk tujuan yang salah. 


"Kerajaan pusat nak pastikan duit sampai kepada rakyat 100 peratus. Jadi tak perlu bagi kepada kerajaan negeri kerana bimbang wang itu akan masuk ke akaun politik dan digunakan untuk kepentingan politik," kata Izlin. 


"Tidak kisahlah disalurkan ke mana, apa yang penting rakyat yang terjejas akibat banjir akan mendapat bantuan tersebut. Ada baiknya RM50 juta disalurkan dan diagihkan oleh JPP agar rakyat tahu bantuan itu dari pihak persekutuan. 


"Bukan apa, bimbang pihak kerajaan negeri tidak memaklumkan kepada rakyat bahawa itu adalah bantuan dari persekutuan dan kemudian rakyat pula menganggap bantuan itu dari kerajaan negeri," kata KCK. 


"Lain kali, masa Perdana Menteri datang ke sana, duduklah berbincang sekali. Bukannya selepas dia balik, baru nak berbunyi. Pesyen apa exco lagu ni?" kata Azhar. 


Sumber: Sinar Harian



from The Reporter https://ift.tt/awz9jXA
via IFTTT