Nasib Khairy & beberapa ahli UMNO yang sabotaj parti pada PRU15 akan ditentukan esok - Zahid Hamidi



Nasib Khairy Jamaluddin dan beberapa ahli UMNO lain yang didakwa mensabotaj parti pada PRU15 akan ditentukan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO esok, kata Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi. 


Beliau berkata, tindakan itu juga menjadi sebahagian daripada operasi pembersihan parti secara besar-besaran seperti mana yang telah dijanjikan semasa Perhimpunan Agung (PAU) dua minggu lalu. 

 

"Tunggulah apabila MKT bermesyuarat, untuk dia (KJ) secara individu tidak penting. Saya kata dalam PAU baru-baru ini, kita akan lakukan pembersihan secara besar-besaran termasuk mereka yang mensabotaj parti dan calon parti pada PRU lalu dan mungkin termasuk orang yang menembak kaki sendiri ketika pilihan raya diadakan. 


"Bila besar-besaran itu maknanya adalah (pembersihan), mana yang belum terasa Insya-Allah esok malam akan terasa," katanya. 


Zahid bagaimanapun tidak mahu mendedahkan awal jumlah ahli parti yang telah dikenal pasti sebagai pensabotaj dan meminta pihak media bersabar sehingga tiba masanya kerana tidak mahu merosakkan strategi yang telah dirancang. 


Susulan kenyataan Zahid itu, Khairy menerusi kenyataan di Instagram menegaskan bahawa UMNO adalah milik semua ahli parti, bukan Majlis Tertinggi saja. 


Dalam kenyataan sama, Khairy mengulangi bahawa beliau hanya setia kepada UMNO dan menolak tawaran PAS untuk menyertai Perikatan Nasional (PN). 


"Saya berterima kasih kepada PAS atas tawaran menyertai PN, tetapi saya masih setia sebagai ahli UMNO," katanya. 


Sumber: MalaysiaKini, Berita Harian, Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/X7aQFIU
via IFTTT