55 PATI Indonesia tinggal di perkampungan haram di Cyberjaya sejak 7 tahun lalu ditahan, 40 lagi berjaya meloloskan diri

Foto Sinar Harian


Seramai 55 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia berusia lingkungan 16 hingga 70 tahun terdiri daripada 26 lelaki dan 29 wanita ditahan pada jam 12.01 pagi Rabu, 15 Februari 2023. 


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, 55 PATI terbabit dikesan berselindung di sebalik kawasan bukit dan hutan dengan membina sebuah perkampungan haram di Cyberjaya, yang dilengkapi dengan warung dan kedai runcit. 


Operasi serbuan yang dijalankan itu juga membabitkan kerjasama dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Pasukan Gerakan Am (PGA). 


Bagaimanapun, operasi itu hanya berjaya menahan 55 PATI, manakala 40 lagi PATI tanpa dokumen telah berjaya melarikan diri ke dalam kawasan hutan dan belukar yang dikelilingi kayu serta kaca dipercayai menjadi 'pelindung' perkampungan haram itu. 


Ketika serbuan, ada segelintir PATI yang ditemui bersembunyi di bawah rumah dan di dalam reban ayam. 


Imigresen tidak menolak kemungkinan PATI berkenaan masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sementara (PLKS) sejak 2016 dan bekerja sebagai pekerja pembinaan serta tukang cuci. 


Khairul berkata, operasi serbuan juga berdepan dengan kesukaran kerana lokasi perkampungan haram berusia tujuh tahun itu tersorok tiga hingga empat kilometer dari laluan utama menyebabkan lokasi itu sukar dikesan. 


Kediaman di perkampungan haram itu dibina dicelah pokok dan tepi belukar. Dan ada yang menggenakan sewa RM500 bagi setiap rumah yang dilengkapi dengan bekalan elektrik menggunakan generator dan bekalan air pula diperoleh dari perigi yang digali dengan kedalaman tiga hingga lima meter. Namun, kemudahan tandas pula agak naif. 


Selain itu, perkampungan PATI berkenaan turut dilengkapi dengan surau, kedai runcit, kedai membekalkan gas memasak dan warung. PATI wanita mengaku mereka menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di sekitar Cyberjaya dengan menjual nasi lemak, goreng pisang serta kuih. 


Imigresen masih menjalankan siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Selain itu, pihaknya akan mengenal pasti ketua di perkampungan haram itu yang mengutip sewa bulanan dan pemilik tanah juga akan dipanggil untuk membantu siasatan. 


Majlis Perbandaran Sepang telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan perkampungan haram tersebut akan dimusnahkan bagi memastikan penempatan itu tidak lagi didiami PATI. 


Sumber: Sinar Harian



from The Reporter https://ift.tt/fAWmnV8
via IFTTT