KUALA LUMPUR, 21 November 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mencatatkan pendapatan sebanyak RM12.32 bilion untuk suku tahun ketiga (S3 2016) berakhir 30 September 2016, meningkat 29.21 peratus dari RM9.54 bilion dalam S3 2015. Aset pelaburan pula mencatat kenaikan 4.09 peratus, atau RM27.98 bilion, kepada RM712.50 bilion dari RM684.52 bilion berakhir 31 Disember 2015.
Semasa mengumumkan laporan prestasi S3 2016 pelaburan KWSP, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Peningkatan prestasi S3 2016 adalah disebabkan oleh asas rendah memandangkan prestasi suku tahun ketiga 2015 adalah lemah. Walau bagaimanapun, sebilangan pasaran utama ekuiti mencatat prestasi meningkat dalam suku tahun ketiga tahun ini berbanding suku tahun yang sama tahun lepas.
“Pelaburan luar negara kami pada suku tahun yang dikaji terus meningkatkan pulangan manakala rugi terjejas (impairment) pula mencatat penyusutan yang ketara dari tahun lepas.”
Pelaburan KWSP juga mencatatkan rugi terjejas selaras dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS 139). Untuk suku tahun yang dikaji, rugi terjejas adalah RM349.59 juta, lebih baik dari RM1.02 bilion yang dicatat pada suku tahun yang sama tahun lepas.
Dalam S3 2016, pelaburan Ekuiti, yang merangkumi 41.24 peratus dari pelaburan aset KWSP, menyumbang RM7.02 bilion, seterusnya mewakili 56.96 peratus jumlah pendapatan pelaburan untuk suku tahun ini. Ini adalah peningkatan sebanyak 49.02 peratus dari RM4.71 bilion yang dicatat dalam suku tahun yang sama pada 2015. Datuk Shahril berkata kenaikan pendapatan pelaburan dalam suku tahun ketiga ini turut disumbang oleh pemulihan harga ekuiti, terutama di pasaran Asia Utara dan negara membangun, yang memberi peluang kepada KWSP untuk merealisasikan pendapatan perniagaan yang lebih tinggi.
Sehingga September 2016, sebanyak 49.76 peratus aset pelaburan KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap yang terus menyumbang pendapatan yang stabil dan konsisten. Pada suku tahun ketiga, pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap mencatat pulangan sebanyak RM4.52 bilion, iaitu 36.65 peratus dari pendapatan pelaburan suku tahun.
Pendapatan dari Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) pada S3 2016 meningkat 7.21 peratus, atau RM131.37 juta, kepada RM1.95 bilion dari RM1.82 bilion pada S3 2015. Manakala Bon dan Pinjaman pula menjana pulangan pelaburan sebanyak RM2.56 bilion berbanding RM2.54 bilion pada S3 2015.
Pelaburan dalam Instrumen Pasaran Wang dan Hartanah dan Infrastruktur masing-masing mewakili 5.19 peratus dan 3.80 peratus daripada jumlah aset pelaburan dan menyumbang pendapatan pelaburan sebanyak RM295.66 juta dan RM478.22 juta pada S3 2016. Kelas aset Hartanah dan Infrastruktur menyediakan pulangan inflasi yang membolehkan KWSP untuk mencapai dividen sebenar tidak kurang dua (2) peratus selepas inflasi.
“Kami mengambil pendekatan waspada berikutan ketidaktentuan yang kian meningkat, disusuli pula dengan keputusan pilihanraya Amerika Syarikat yang bakal mempengaruhi prestasi pasaran global dan serantau serta matawang negara sedang membangun. Walaupun ini mungkin akan meningkatkan pulangan pelaburan KWSP dari segi pertukaran matawang asing pada tahun ini, kami jangka di masa hadapan ini akan menyebabkan kos pelaburan aset kami di luar negara akan meningkat memandangkan pelaburan akan dilakukan pada kadar tukaran wang asing yang lebih tinggi. Persekitaran kadar faedah yang rendah juga dijangka akan menurunkan pulangan dari pelaburan pendapatan tetap kerana bon yang matang akan dilaburkan semula pada kadar faedah yang rendah.
“Memandangkan penyusutan pendapatan pelaburan pada setengah tahun pertama serta ketidaktentuan yang dijangka akan kekal sehingga hujung tahun ini, keadaan akan menjadi lebih mencabar bagi KWSP untuk mengekalkan prestasi pulangan tahun-tahun yang lepas.”
Datuk Shahril menambah bahawa KWSP akan meneruskan strategi pelaburan jangka panjang berasaskan Alokasi Aset Strategi (SAA) yang mengambilkira faktor kemeruapan pasaran jangka panjang dan pendek antaranya seperti pilihanraya Amerika Syarikat. KWSP akan kekal fokus kepada memberikan sasaran dividen sebenar tidak kurang dari dua (2) peratus selepas inflasi untuk purata tiga tahun berturut-turut.
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.
Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.
KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.