PETALING JAYA - Susulan kes pelajar tingkatan 1 di SMK Bandar Sri Damansara 2 cedera dibuli dalam kejadian 23 Februari lalu, salah seorang pelajar yang terlibat tampil membuat laporan polis.
Dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Bandar Sri Damansara pada 24 Februari, remaja itu menyedari gambar dia dan ibunya disebarkan di media sosial didakwa sebagai suspek utama mencederakan mangsa, Puteri Aleesya Maisarah Mohd Shukri, 13, sehingga dikecam teruk oleh netizen.
Bagaimanapun, remaja itu menafikan dakwaan itu, sebaliknya rakannya yang berbuat demikian.
"Saya dapati beberapa kecaman yang dibuat terhadap diri saya dan juga ibu saya, sedangkan yang memijak pelajar perempuan (mangsa) adalah bukan saya tetapi rakan saya yang bernama Nurul Huda," tulisnya dalam laporan polis tersebut.
Malah, remaja itu mendakwa rakannya telah membuat pengakuan di hadapan guru sekolah berkenaan.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Shukri Sulaiman, 42, menyatakan anaknya sudah pulih namun masih menerima rawatan susulan.
Difahamkan, bapa mangsa akan tetap mengambil tindakan undang-undang terhadap enam pelajar yang terlibat mencederakan anak perempuan itu.
Menceritakan semula kejadian itu, Puteri Aleesya Maisarah berkata dia mengenali pelajar tingkatan 3 yang terlibat, namun tidak berkawan dengan mereka.
"Saya keluar kelas selepas waktu sekolah tamat untuk sertai aktiviti mengecat sekolah sebelum dua pelajar perempuan tingkatan 3 itu menarik saya masuk ke dalam sebuah kelas tingkatan dua. Mereka kemudian menarik tudung saya dan membelasah saya sehingga pengsan.
"Saya tidak tahu apa motif saya dibelasah kerana saya tidak berdendam dengan sesiapa di sekolah," katanya.
Semakan di laman Facebook mendapati akaun Facebook pelajar perempuan berambut perang itu telah dipadamkan. Kenyataan terdahulu yang dimuat naik oleh ibunya yang mendakwa anaknya tidak bersalah, juga telah dipadamkan.
Semalam, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan mana-mana pelajar yang didapati terbabit dengan kegiatan buli akan digantung sekolah selama enam bulan berkuatkuasa serta-merta. - The Reporter
Kredit: 1citemalaya