INILAH ‘TAMAR JALIS’…PENULIS BUKU BERCAKAP DENGAN JIN!




TAMAR Jalis atau nama sebenarnya Ahmad @ Mohd.Radzi bin Mahmud telah menghasilkan lebih 284 Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ),16 daripadanya sudah dibukukan dan jualannya menurut suatu kajian Prof. Adnan Nawang melebihi sejuta naskhah.
Hal ini memperlihatkan sambutan meluas pembaca terhadap siri novel itu yang sudah bermula sejak tahun 1981 hingga 2005.
Jualan hingga lebih sejuta naskhah siri novel SBDJ membuktikan karya itu lebih banyak terjual berbanding mana-mana buku Sasterawan Negara yang pernah diterbitkan setakat ini.
Jualan besar SBDJ termasuk naskhah cetak rompak menunjukkan pembaca daripada pelbagai kaum menggemari SBDJ yang mempunyai resipi tersendiri, teknik penulisan kreatif tertentu dan strategi memikat pembaca.
Di samping itu strategi jualan SBDJ yang mudah diperoleh sama ada di kedai besar, kecil, pasar , malam, kedai mamak, Cina dan sebagainya yang rakyat sifatnya.
Hal ini secara tidak langsung mencetuskan fenomena dan budaya membaca yang positif di kalangan rakyat Malaysia.
Generasi pembaca Malaysia era 1980-an, 1990-an dan 2005 kebanyakannya pernah membaca siri novel SBDJ atau mengikuti siri ini dalam majalah Variasari.
Malah ada segelintir mereka masih memiliki koleksi Siri novel ini yang diterbitkan dalam pelbagai versi dan ilustrasi kulit depannya untuk menarik perhatian pembaca meskipun kisahnya bukanlah sekadar tentang makhluk jin tetapi disulami dengan ilmu perubatan tradisional Melayu, sejarah, ilmu persilatan, psikologi Melayu, kosmologi Melayu, perbomohan Melayu dan petua-petua untuk memerangi dan menewaskan iblis dan syaitan daripada menganggu manusia.
Tamar Jalis adalah nama samaran penulisnya yang diambil daripada satu nama jin yang terdapat dalam Hikayat lnderaputera yang terkenal dalam kesusasteraan Melayu tradisional.
Penggunaan nama Tamar Jalis memang sesuai dengan penulisan SBDJ hingga kebanyakan pembaca tidak menyedari nama sebenar penulis yang sudah berusia dan masih sihat walafiat.
Tamar Jalis dilahirkan pada 13 September 1940 di Kampung Batu 36, Jalan Sitiawan, Perak. Beliau mendapat pendidikan Melayu dan lnggeris serta Sekolah Rendah Teknik, Ipoh (bahagian tukang kayu dan binaan).
Dalam sejarah hidupnya, beliau pernah menjadi buruh, berniaga, pemberita bebas dan kerani pengedar akhbar Utusan Melayu (1970) dan pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Editor kumpulan majalah Variapop Group sebelum bersara dan kini menetap di Kuala Lumpur.
Beliau juga pernah berkhidmat dalam tentera Wataniah antara tahun 1964 hingga 1966.
Tamar Jalis mula menceburkan diri dalam dunia penulisan sejak tahun 1955 melalui Utusan Kanak-Kanak dan Tunas, tetapi cerpen dewasanya yang pertama tersiar dalam majalah Mutiara pada tahun 1958 berjudul Berhari Raya di Kampung.
Di samping menulis SBDJ yang tersohor dalam sejarah kesusasteraan Melayu itu, beliau juga menulis novel dan cerpen.
Cerpen-cerpennya tersiar dalam pelbagai majalah seperti Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat , Mastika dan Widya, dan akhbar-akhbar Berita Minggu, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan Watan.
Dua buah cerpennya, Menanti Ayah (1971) dan Samad Toja (Mingguan Malaysia, 26 Mei 1974) memenangi Hadiah Karya Sastera pada era tersebut yang memperlihatkan kekuatan dan ketinggian mutu cerpen karya Tamar Jalis.
Cerpen Samad Toja termuat dalam Antologi Hadiah Karya Sastera 1974 terbitan DBP (1976).
Panel Hadiah Karya Sastera (1974) antara lain menyebutkan, Samad Toja menceritakan kisah seorang tua yang memegang teguh kepada kepercayaan terhadap kuburan datuknya yang dianggap keramat.
Dan ini didramakan dalam satu situasi di mana kekolotan watak ditimbulkan dengan jelas. Samad Toja sanggup mati kerana mempertahankan kepercayaannya. Cerita diselesaikan secara ironis dengan Samad Toja terselamat sedangkan pemuda yang cuba menyelamatkannya mati menjadi korban di suraunya.”
Tiga buah cerpennnya iaitu Jaril,Jangan Tinggalkan Emak (Dewan Bahasa, September 1973), Paman (Dewan Sastera, Januari 1977) dan Cincin Berlian Bermata Dua (Dewan Sastera, April 1980) dimuatkan oleh Hamzah Hamdani dalam buku selenggaraannya Di Bawah Bayang Kemboja terbitan DBP (1981).
Tuah menyebelahi Tamar Jalis bila cerpennya Paman dan cerpen- cerpen pengarang lain yang termuat dalam antologi Suatu Subuh Yang Bening selenggaraan Othman Puteh dan Ramli Isin terpilih dan menjadi teks kesusasteraan Melayu peringkat SPM pada era persekolahan tahun 1980-an dan menjadi bahan kajian pelajar untuk lulus peperiksaan SPM.
Antara novel Tamar Jalis yang lain ialah Pucuk-pucuk Yang Mati (1967), Lorong-Lorong Hitam (1969) dan Rumah Urut (1970). Hamzah Hamdani dalam ulasannya ada menyebutkan “Walaupun novel-novel Ahmad Mahmud cenderung mengemukakan persoalan-persoalan seks, tetapi dalam perkembangannya kemudian, melalui cerpen-cerpennya, beliau telah mengemukakan persoalan-persoalan kehidupan manusia yang lebih serius.
Ahmad Mahmud sering melukiskan jiwa manusia yang gigih menghadapi hidup walaupun akhiran cerita-ceritanya sering menyayat hati.”
Menerusi nama samarannya Atma A.M beliau menulis novel-novel bercorak percintaan dan kemasyarakatan berjudul Bukan lmpian Hati setebal 126 halaman terbitan Variapop Group (Kuala Lumpur) pada tahun 1987. Beliau kemudiannya menulis novel Bukan Impian Hati(2) dengan menggunakan nama Atma A.M setebal 111 halaman terbitan Variapop Group (Kuala Lumpur) pada tahun 1988.
Beliau kemudiannya meneruskan penulisan novel bercorak percintaan dan kemasyarakatan dengan menggunakan nama samaran Ramadhan A.M menulis novel Kasihku, Sewangi Cempaka setebal 127 halaman (1988) dan Kukirim Rindu Untukmu setebal 127 halaman (1988) terbitan Variapop Group, Kuala Lumpur.
Pada bulan April 1985 hingga Januari 2005 iaitu selama 23 tahun enam bulan, beliau mula menggerakkan penulisan novel SBDJ dalam majalah Variasari untuk meningkatkan jualan majalah itu dan mencipta rekod sebagai siri novel terpanjang di Malaysia, Asia Tenggara dan sekali gus dunia antarabangsa.
Pada era 1980-an, majalah Variasari pernah dicetak 120,000 naskhah sebulan kerana wujudnya siri SBDJ itu sebelum beransur menurun kini.
Menurut Presiden Persatuan Karyawan Perak, Zabidin lsmail, SBDJ karya Tamar Jalis adalah siri cerita kreatif Melayu yang terbanyak dan paling lama dalam sebuah majalah tempatan.
Sebanyak 221 siri telah dibukukan dengan pelbagai tajuk dan paparan corak kulit yang menarik lagi menyeramkan, termuat dalam 16 buah buku.
Sebuah buku SBDJ mengandungi kira-kira 24 siri. Namun demikian terdapat sebanyak 63 siri iaitu siri 222 hingga 284 belum lagi dibukukan.
(sumber Dr. Talib Samat)


from Syahril A. Kadir http://ift.tt/2nX1oYe
via IFTTT