IPOH – Seorang peniaga nyaris maut apabila kepalanya ditetak dalam kejadian samun di Taman Mas, Menglembu, di sini, Isnin lalu.
Mangsa, Ngooi Won Piew, 37, berkata, dia menerima 10 jahitan selepas kepalanya ditetak dua lelaki bertopeng serta bersenjatakan parang ketika mahu menutup restorannya kira-kira jam 11.40 malam.
Menurutnya, isterinya, Chang Phooi Chun, 37, yang menyaksikan kejadian turut kehilangan dokumen peribadi, telefon bimbit dan wang hasil perniagaan berjumlah RM2,600.
“Ketika kejadian, mereka menaiki motosikal dan seorang memakai kain menutup muka serta memegang parang terus menetak kepala dan merampas beg galas ketika mahu menutup kedai.
“Kejadian itu berlaku pantas dan saya segera mendapatkan rawatan kecemasan di sebuah klinik berhampiran. Bagaimanapun, kamera litar tertutup (CCTV) tidak berfungsi,” katanya ketika ditemui di Wisma DAP Negeri.
Pada masa sama, seorang peniaga, Pang Chyun Shyan, 46, pula diserang tiga lelaki yang menaiki motosikal yang dipercayai cuba menyamunnya kira-kira jam 1 pagi di Jalan Ng Weng Hup, Buntong di sini, Selasa lalu.
“Saya dalam perjalanan menuju ke kilang untuk memantau pekerja di sana dengan menaiki motosikal, tiba-tiba seorang lelaki meminta saya berhenti di tepi jalan. Saya enggan berhenti menyebabkan sebuah lagi motosikal melanggar dari bahagian belakang pula.
“Saya terus memecut sehinggalah berada di sebuah premis yang mempunyai ramai orang. Saya lihat kesemua mereka terus beredar. Tindakan mereka itu menyebabkan saya terus membuat laporan polis bagi mengelakkan tiada lagi mangsa lain terlibat,” katanya.
Sementara itu, Adun Menglembu, Lim Pek Har menyarankan pihak polis memainkan peranan kolektif dalam menjayakan bandar selamat di kawasan-kawasan yang sering berlakunya jenayah.
“Jenayah yang berlaku dalam tempoh dua hari berturut-turut di kawasan berhampiran membimbangkan penduduk akan keselamatan diri mereka terutama pada waktu malam. Ia tidak menggambarkan penurunan peratusan kadar jenayah di negeri ini.
“Penduduk disarankan untuk melaporkan kejadian sebarang kejadian jenayah di kawasan mereka kerana ada di antara penduduk tidak melaporkannya kerana menganggap ia leceh dan menyusahkan,” katanya.