Gambar hiasan | abortionno.org |
Saya Aliya. Sejak kecil sampailah dewasa, saya sentiasa elakkan makanan seperti sayur dan buah-buahan sebab tak suka. Kalau telan, rasa nak muntah. Kalau pesan makanan panas, saya akan asingkan dulu semua sayur termasuk bawang putih, barulah saya makan.
Pendek kata, semua jenis makanan berkhasiat, saya susah nak telan. Ya, salah saya. Supplement pun saya tak ambil sebab tiada ilmu mengenai kepentingannya.
Ini pengalaman kehamilan saya disebabkan tidak mengambil peduli mengenai semua perkara ini.
Saya menghidap HB Low disebabkan lifestyle saya yang tak teratur, selain menghidap thalassaemia. Seperti wanita lain, ketika kita disahkan hamil, keindahan dan kebahagiaan itu jelas terasa. Tak sabar rasanya nak merasa denyut nadi dalam rahim ini.
Saya dan suami sudah rancang bermacam-macam untuk anak. Kami juga rancang nak masukkan anak kami ke sekolah tahfiz dan menuntut di Al-Azhar.
Dalam keseronokan itu, saya dimaklumkan oleh doktor bahawa anak di dalam kandungan saya tiada denyut nadi. Selain tahap hemoglobin (HB) saya ini rendah, saya juga berdepan dengan jangkitan pada rahim (cervical incompetence) yang memungkinkan saya berdepan dengan keguguran itu.
Allah.. baru semalam kami bercakap mengenai masa depan anak ini, tetapi hari ini kami sekeluarga bersedih.
Anak ibu cukup sifat sayang. Anak ibu nampak comel di atas tapak tangan ibu tetapi anak ibu sudah tiada nadi. 15 minggu anak ibu bersama ibu. Bermainlah anak ibu di dalam syurga yang kekal abadi. Luluh hati saya pada ketika itu.
Doktor kata, HB ini adalah pengangkut oksigen dan zat makanan ke seluruh badan. Disebabkan saya mengalami anemia, tisu seluruh badan kurang kandungan oksigen dan kurang tenaga. Bila saya pun tidak cukup oksigen, macam mana saya nak berkongsi dengan anak? Allahuakbar. Salah saya.
Walaupun Allah pinjamkan anak ini buat kami sekejap sahaja, tetapi kesannya begitu mendalam sebab pakaiannya semua kami dah beli.
Tahun berikutnya, saya disahkan hamil anak kedua. Alhamdulillah walaupun HB saya misah rendah) tetapi mendapat pemantauan khas dari Klinik Kesihatan ibu dan anak. Semasa kehamilan kedua ini, semuanya okey kecuali masa kandungan mencecah 34 minggu, tumbesaran anak saya berhenti.
Memasuki minggu ke-37, bayi saya tidak menunjukkan sebarang respon dan kurang bergerak. Allah, apa pula kali ini? Kes saya dirujuk ke HKL. Doktor meminta saya melahirkan bayi segera bagi mengelakkan risiko yang tidak diingini berlaku.
Saya bersyukur pada masa itu sebab doktor dan jururawat semuanya beri kata-kata semangat dan mendoakan saya. Betullah, masa kita tengah down, pelukan adalah antara rawatan terbaik. Jururawat yang melihat saya sedih dan menangis, mereka datang dan peluk saya. Sedikit sebanyak mengurangkan beban.
Alhamdulillah, saya selamat melahirkan anak perempuan dengan berat 2.06 kilogram selepas lapan jam induce. Ingatkan semua dah selamat. Doktor memaklumkan anak saya hanya mempunyai sebelah buah pinggang sahaja.
Allah, walaupun saya makan dan minum pelbagai jenis makan yang kaya dengan zat besi. Namun saya berdepan juga masalah kesihatan ini disebabkan saya pembawa thalassaemia. Kalaulah dari kecil saya jenis makan sayur dan buah, sekurang-kurangnya saya boleh bantu elakkan ini semua walaupun sedikit."
Bagi wanita yang mahu hamil, tolonglah ambil tahu tentang HB anda ini kerana kesakitan bila kehilangan anak ini sungguh lain sekali. Dan sebelum berkahwin, tolonglah buat ujian saringan thalassaemia. Ia sangat penting untuk elakkan masalah seperti yang berlaku pada saya.
Perkongsian ini mendapat kebenaran dari pemilik laman 9 bulan 10 hari. Anda dilarang 'copy paste' artikel ini tanpa kebenaran penulis asalnya.