Wanita Mengadu Sakit Perut, Rupanya Ada Bayi Batu Dalam Rahim

Jambi, Indonesia: Seorang wanita berusia 60 tahun menjadi perhatian selepas doktor berjaya mengeluarkan bayinya yang telah dikandungkan selama 37 tahun menerusi satu pembedahan.

Ketika bayi itu dikeluarkan, dia sudah menjadi keras seperti batu.

Memuat artikel Detik.com, Tun Nyak Tun tidak menyedari dia mengandung tetapi menurut anggota keluarga, dia sering mengadu sakit perut dan sukar buang air besar.

Bagaimanapun, beberapa hari lalu, kerana tidak sanggup menahan sakit lagi, Tun meminta anaknya menghantarnya ke hospital, Isnin lalu.

Pakar bedah, Dr. Parianto dari Hospital Raden Mattaher berkata, mereka menyangkakan ia adalah ketumbuhan selepas imbasan dibuat. Namun pembedahan itu membuahkan hasil yang mengejutkan apabila doktor berjaya mengeluarkan objek seberat 1.5kg.

Setelah diperiksa, mereka dapati ia adalah bayi yang sudah keras.

“Bayi itu meninggal dunia dalam perut dan menjadi mumia,” katanya.

Tambah doktor itu lagi, bayi tersebut terbungkus dalam lapisan kapur yang keras dan pihaknya berhati-hati melakukan prosedur agar tidak merosakkan bayi itu.

“Kami mengetuknya. Ia keras seperti batu. Bagi mengetahui lebih lanjut, kami gergaji benda itu dan menemui rambut. Hasil pemeriksaan selanjutnya, termasuk X-ray, sungguh mengejutkan kerana kelihatan kerangka lengkap manusia,” katanya.

Parianto berkata, mumia bayi itu akan diawet untuk keperluan pendidikan perubatan.

Beliau berkata, kejadian bayi meninggal dunia dalam kandungan, menjadi keras di luar rahim amat jarang berlaku dan sejak 400 tahun lalu, hanya ada 300 kejadian seperti itu.

The post Wanita Mengadu Sakit Perut, Rupanya Ada Bayi Batu Dalam Rahim appeared first on The Coverage Edisi BM.