Bayi tak sedarkan diri ketika dijaga pengasuh, sebelum disahkan meninggal dunia kerana pendarahan dalam kepala
Robaah Kamaruddin membawa jenazah anaknya | Foto - Harian Metro |
IPOH, PERAK - Hasra pasangan suami isteri mahu menyambut ulang tahun kelahiran mereka yang ke-30 tidak kesampai apabila bayi lelaki mereka meninggal dunia selepas 24 jam bertarung nyawa selepas tidak sedarkan diri ketika berada di dalam jagaan pengasuh, semalam, lapor Harian Metro.
Muhammad Syahmi Naufal Muhammad Adam Tham, 8 bulan, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada jam 6.21 pagi semalam.
Ibu mangsa, Robaah Kamaruddin, 30, berkata, dia menerima panggilan telefon dari pengasuh pada jam 11 pagi kelmarin yang memaklumkan bahawa anaknya berada dalam keadaan lemah. Robaah dan semuanya, Muhammad Adam Tham Abdullah, 30, kemudian bergegas dari tempat kerja (Jabatan Pendaftaran Negara di Meru Raya) ke rumah pengasuh itu.
Difahamkan, pasangan itu mula menghantar anak mereka ke rumah pengasuh berkenaan sejak Januari lalu.
"Pengasuh beritahu anak saya dalam keadaan lemah dan tidak memberikan respon ketika hendak diberi susu. Saya dan suami terus pergi ke rumah pengasuh. Sebaik saja sampai, jiran pengasuh memberitahu anak saya telah dibawa ke klinik berhampiran.
"Ketika di klinik, kami mendapati anak kami tidak sedarkan diri serta menggunakan alat bantuan pernafasan sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun. Ketika di hospital, doktor yang merawat anak kami memaklumkan ada pendarahan dalam kepala dan Naufal berada dalam keadaan tidak sedar," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, semalam.
Pasangan itu redha dengan apa yang berlaku dan berharap kejadian itu bukan berunsur jenayah atau disebabkan pengasuh.
Lapor Harian Metro, pengasuh bayi lelaki itu telah ditahan semalam bagi membantu siasatan polis untuk mengenal pasti sama ada membabitkan unsur kecuaian atau penderaan dan sebaliknya. - The Reporter
from The Reporter http://ift.tt/2oWzppw
via IFTTT