DR. MOHD SHAH MAHMOOD…PAKAR BEDAH MAYAT TERKENAL!

SUDAH berbelas tahun bekerja di sebalik tembok rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Mohd. Shah Mahmood dan kakitangan di Jabatan Perubatan Forensik sudah lali dengan bermacam jenis mayat yang perlu diperiksa setiap hari.

Ada yang meninggal dunia kerana penyakit, kemalangan, mangsa pembunuhan mahupun bunuh diri.

Mayat yang diserahkan pula tidak semuanya dalam keadaan lengkap. Ada yang sudah reput, berulat, rentung, hancur, putus anggota badan malah ada juga yang hanya tinggal rangka.

Lebih dikenali sebagai bedah siasat, bidang perubatan forensik ini sebenarnya memiliki skop tugas yang lebih luas dan misi tugas yang lebih penting. Ia bukan sekadar pemeriksaan mayat.

“Sebaliknya prosedur ini dijalankan untuk mengetahui punca kematian serta mengenal pasti identiti si mati,” ujar Mohd. Shah.

Mendokumenkan mayat

Sebagai cabang kepada bidang perubatan yang berkaitan dengan undang-undang, beliau menambah, hasil daripada bedah siasat atau perubatan forensik ini mampu membantu pihak polis menyelesaikan penyiasatan kes-kes kematian.

“Di Jabatan Perubatan Forensik, kami tidak hanya memeriksa mayat. Kami juga menerima rujukan kes klinikal berkaitan jenayah terhadap mangsa hidup dengan memeriksa mangsa jenayah seksual seperti liwat dan rogol,” katanya yang bersetuju perubatan forensik banyak membantu merungkai seribu satu persoalan berkaitan batang tubuh yang diperiksa.

Bagi pemeriksaan yang dijalankan ke atas mayat misalnya, ia boleh memberi petunjuk tentang punca, cara dan anggaran jangkamasa kematian, menghilangkan keraguan mengenai sebab kematian dan menunjukkan sebab penyakit serta kecacatan yang ada pada mayat, sama ada ketika sebelum, semasa atau selepas kematian.

Selain itu, prosedur bedah siasat juga sangat membantu dalam mengesan, merakam dan mendokumenkan penyakit serta kecederaan luar serta dalam tubuh.

“Dalam kes-kes kematian melibatkan orang dalam tahanan contohnya, bedah siasat perlu dilakukan kerana ia keperluan undang-undang untuk membuktikan kebenaran dan menegakkan keadilan bagi pihak si mati, waris mahupun pihak ketiga.

“Cara ini turut dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini timbul pada masa hadapan setelah mayat dikebumikan.

“Melalui bedah siasat juga kita boleh dapatkan sampel tisu untuk analisis makmal dan memberi khidmat pakar tentang interpretasi penemuan semasa pemeriksaan mayat,” jelas Mohd. Shah lagi.

Ambil spesimen

Selain itu, menurut beliau, hasil dengan bedah siasat juga dapat digunakan bagi menyelamatkan dan melindungi orang ramai daripada penyakit berjangkit yang berbahaya pada masa akan datang seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) atau wabak H1N1.

Bedah siasat atas arahan pihak polis hanya boleh dilakukan oleh pegawai perubatan kerajaan di hospital kerajaan. Terdapat dua jenis prosedur bedah siasat iaitu klinikal dan medikolegal.

“Bedah siasat klinikal dijalankan bagi mengesahkan punca kematian, mengesan sesuatu penyakit atau selidik keberkesanan prosedur baharu rawatan serta bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan.

“Kes-kes kematian pula menjurus kepada kes kematian dalam wad seperti penyakit biasa dan penyakit berjangkit yang tidak dapat dikenal pasti lagi penyebabnya. Ia bukan kematian yang berkait dengan kes polis.

“Berlainan dengan bedah siasat medikolegal, mayat yang kematiannya dikaitkan dengan kes polis seperti kemalangan, mati lemas, kebakaran, pembunuhan dan kematian mengejut yang mencurigakan atau tidak pasti sebabnya.

“Majistret atau polis akan mengeluarkan arahan melalui Borang Permintaan Pemeriksaan Mayat melalui peruntukan Kanun Prosedur Jenayah kepada pegawai perubatan atau pakar perubatan forensik kerajaan untuk menjalankan bedah siasat. Keizinan pihak waris tidak diperlukan atas dasar keperluan dan peruntukan undang-undang,” katanya.

Menangani 600 hingga 800 kes setahun di HKL, Mohd. Shah memberitahu, seorang pakar perubatan forensik perlu peka tentang keganjilan yang berlaku pada setiap inci tubuh.

“Pendek kata, pakar perubatan forensik perlu tahu secara am semua jenis penyakit dan perlu sentiasa peka terhadap kesan abnormal dan kecederaan pada mayat.

Pecah perut

“Jika terdapat keganjilan yang meragukan, spesimen perlu diambil untuk dijalankan kajian dengan lebih terperinci di makmal patologi dan Jabatan Kimia Malaysia,” ujar beliau yang menegaskan pihak hospital tidak boleh mengambil atau menyimpan organ mayat yang dibedah siasat.

Jelasnya, walaupun semasa hayatnya, si mati telah mendaftar sebagai penderma organ, tiada organ yang masih boleh berfungsi dengan baik untuk tujuan pendermaan apabila degupan jantung terhenti.

“Kita hanya boleh ambil beberapa lapisan kulit, selaput kornea mata, injap jantung dan tulang sahaja, setelah dapat kebenaran bertulis daripada pihak waris,” katanya.

Menurutnya, jangka masa kematian ialah isu paling subjektif untuk dibahaskan. Ini kerana banyak faktor yang perlu diambil kira seperti cara dan punca kematian.

“Kita tidak boleh nak kata mayat yang sudah berusia dua hari itu mempunyai ciri-ciri seperti sudah pecah perut dan mayat berusia seminggu sudah tinggal kulit serta tulang.

“Kita hanya boleh menganggarkan sahaja kerana ada juga mayat yang sudah tiga hari tetapi belum busuk, ada juga mayat yang baru sehari, tetapi sudah berulat.

“Misalnya, jika lelaki muda yang tidak berpenyakit mati dan mayatnya tersorok di kawasan yang panas serta kering, mungkin mayat itu mampu bertahan lebih lama jika dibandingkan dengan mayat warga emas yang memiliki pelbagai penyakit dan luka terbuka.

“Luka tersebut jika dibiarkan untuk beberapa jam pastinya mengundang lalat untuk bertelur dan itu akan memburukkan lagi keadaan mayat,” katanya yang turut memberitahu umur, gaya hidup dan penyakit turut mempengaruhi keadaan mayat.

Sumber Kosmo!



from Syahril A. Kadir http://ift.tt/2oaJ25S
via IFTTT