'Akhirnya aku bertemu dengan crush sekolah menengah di Facebook, tetapi...'



Masa aku sekolah dulu, aku dalam kategori makwe biasa-biasa saja. Nak kata aku cun, tak. Buruk pun tidak. Aku mungkin tak ada ramai peminat seperti kawan baik aku, Nigina. Bukan Nagini ular Voldemort itu. Tetapi masih ada juga yang sudi mengutus surat kepada aku. 

Adik jangan terkejut sangat, zaman akak sekolah dulu masih pakai surat.

Nigina kata dia diberi nama itu sebab ayah dia kipas susah mati kumpulan rock popular Malaysia, Search. Nigina memang cun, maklumlah awek kacukan Melayu-Cina-Jerman-Indonesia. Kalau disuruh aku describe, Nigina ini berkulit putih gebu, rambut lurus berwarna keperangan, mata coklat, bibir merah bak delima dan lesung pipit di kiri kanan pipinya.

Peminat dia pula ada bermacam-macam jenis. Ada atlit sekolah, pengawas pusat sumber, budak nerd kelas sebelah dan tak kurang juga pakwe-pakwe kelas hujung yang bergaya ala budak skinhead. Walaupun aku dengan Nigina ini BFF, aku jarang dapat perhatian seperti dia. Jadinya aku ini yang selalu jadi posmen dia.

Disebabkan tadi aku dah cakap crush Nigina ini ada bermacam-macam jenis, maka adalah lelaki berwajah kacak yang turut menagih kasih Nigina. Sebagai posmen, aku pun ada hati dan perasaan, dan pada satu hari hati dan perasaan aku ni tiba-tiba diketuk sejenis perasaan asing. 

Aku ingat lagi kejadian itu, masa itu kami baru tingkatan 1. Satu hari, semasa aku berjalan ke koperasi sekolah, aku ditegur oleh seorang pelajar lelaki tingkatan 2.

"Eh tunggu kejap, awak ni kawan Nigina kan?" 

Aku mengangguk laju. Mataku terpaku menatap wajah pelajar lelaki itu. Mak aih, handsome gila! Kulit putih, tinggi, muka macam mix Arab sikit. Aku sempat menjeling ke arah tanda nama di poket kirinya, Syed Fikri. Patutlah muka macam Arab sikit.

"Boleh tak awak bagi surat ni kat dia?" 

Lamunanku terhenti. Nasib baik dia tak perasan aku usha dia.

"A'a boleh." aku menjawab perlahan sambil menyambut surat yang dihulur Syed Fikri.

"Terima kasih. A'aa.. nama siapa?"

"Saleha. Siti Saleha," aku menjawab laju.

"Terima kasih Siti Saleha!" Syed Fikri tersenyum. 

Aduh, ada lesung pipit pula. Rapuh aku dibuatnya. Dan begitulah berakhirnya perbualan kami sebelum Syed Fikri beredar.

Tiba di kelas, aku segera menyampaikan surat itu kepada Nigina. Apabila diberitahu nama pengirim surat adalah Syed Fikri, Nigina tersenyum lebar. Amboi, macam suka saja. Bisik hatiku mula diserang cemburu. Tetapi cepat-cepat aku tepis perasaan itu.

Semenjak dari itu, bermulalah tugasan aku sebagai seorang posmen tidak bergaji antara Nigina dan Syed Fikri. Aku ingat, tugasku hanya menjadi posmen. Lama kelamaan, aku turut menjadi 'third wheel' dalam hubungan cinta monyet mereka. Itu pun bukanlah aku yang sukarela, Nigina yang paksa sebab katanya dia segan bila jumpa Syed Fikri seorang diri.

Tapi kadang-kadang syok juga jadi peneman Nigina "berendut" dengan Syed Fikri ini. Bolehlah aku cuci mata sambil curi-curi pandang wajah Syed Fikri. Bersalahkah aku kalau aku crush pada boyfriend kepada bestfriend sendiri?

Namun hubungan itu tidak berpanjangan, Syed Fikri terpaksa mengikut keluarganya berpindah. Nigina tak sedih pun kerana seminggu lepas Syed Fikri pindah, Nigina dapat boyfriend baru, Haziq namanya.

Berbalik kepada cerita aku, aku kecewa sebenarnya Syed Fikri pindah. Yelah, dia crush pertama aku di sekolah itu. Walaupun dia jarang tegur aku dan berapa kali dia asyik salah panggil nama aku jadi Zaleha, Salwa, Salmah, aku tak kisah. Tapi, nak tak nak aku kenalah move on. Selepas berjaya move on dari Syed Fikri, aku akhirnya ada boyfriend yang pertama di sekolah menengah.

12 tahun kemudian...

Aku kini sudah menamatkan pengajian ijazah dari sebuah universiti tempatan dan bekerja di ibu kota Kuala Lumpur. Sebagai seorang wanita berkerjaya, aku sering sibuk dan tiada masa untuk mempunyai hubungan serius dengan mana-mana lelaki.

Malam itu selepas pulang dari kerja, aku duduk berehat di bilik. Membuka laptop dan segala sosial media yang aku ada. Dari twitter, facebook, linkedin, youtube dan macam-macam lagi. Aku buka timeline twitter, tweet pertama yang aku baca merupakan tweet dari @patenrazali yang berbunyi "Laparnyaaaa." Dan aku meneruskan aktiviti scroll timeline sebelum beralih ke Facebook.

Aku refresh Facebook aku dan terdapat notifications friend request. Cepat-cepat aku klik untuk lihat siapa gerangan manusia yang add aku di Facebook. "Fikri Ahmad". Itulah username yang ada di ruangan friend request ku. Mutual friendsnya ada 20. 

Dadaku berdebar. Seumur hidup aku, aku hanya kenal seorang Fikri. Fikri crush pertama aku 12 tahun lepas. Cepat-cepat aku klik profile Fikri Ahmad itu sebelum approve requestnya. Aku lihat gambarnya, memang sah itu dia. Syed Fikri. Syed Fikri yang dulu aku crush dalam diam. Syed Fikri atau nama panjangnya Syed Fikri Syed Ahmad. 

Tanpa berfikir panjang, aku terus approve friend requestnya, dan pergi ke bahagian gambar. Aku belek satu persatu gambarnya. Syed Fikri semakin tampan dan bergaya. Seiring dengan usianya yang menginjak ke usia 26 tahun. Masih singlekah dia? Aku tertanya-tanya sendirian. Ketika aku sedang leka stalk gambarnya, sekali lagi aku mendapat notification dari Facebook.

Fikri Ahmad likes your photo.

Dan bukan satu gambar yang dia like, hampir semua koleksi selfieku menjadi bahan like Syed Fikri. Aku tersenyum-senyum. Adakah ini cinta? Seolah memahami perasaan ini, playlist Spotifyku memainkan lagu Arctic Monkeys - Baby I'm Yours.

"Baby I'm yours, and I'll be yours until the star fall from the skyyy." 

Sedang asyik aku menyanyi tiba-tiba facebook chat ku berbunyi menandakan ada orang menegurku di Facebook chat. Syed Fikri! Ah terujanya rasa. Dengan perasaan berdebar, aku buka Facebook chat dari Syed Fikri.

Syed Fikri : hi!
Aku : hi!
Syed Fikri : muka u nie familiar sgt :)
Aku : yeke familiar? Nampak kat mana? :)
Syed Fikri : u dulu sekolah *****?
Aku : yup
Syed Fikri : u kwn Nigina yg jd posmen tu?
Aku : yup ;)
Syed Fikri : wow lainnya u skrg!
Aku : apa yang lain?
Syed Fikri : u mkin cantik. ;)
Aku masih meneruskan aktiviti stalk Facebook photo Syed Fikri sebelum membuat keputusan untuk membelek infonya di bahagian about. Namun, tiba-tiba mataku terpaku pada status Facebooknya.

Aq rse hdup aq bz sgt skrg nie. Dgn kje, xde mase nk cari awex. Huhuhu. Aq rase sunyi p0n ade gak. Ahucks.

Aku tak percaya dengan mataku. Mungkin kena prank dengan kawan-kawan dia kot? Aku baca lagi statusnya yang lain.

Nk mam ape la mlm nie. Perot aq lapar gilew nie.

Akhirnye dye pegy dri hidop aq. Aq taw aq xlyk utk dye. Aq hrp kao bhagie cyg.

Ejaan jenis apa ini? Setan betul, muka saja handsome, umur dah 26 tapi mengeja pun tak reti! Mampus kaulah Syed Fikri. Menyesal aku approve friend request kau! Menyesal!


from The Reporter http://ift.tt/2pYrXye
via IFTTT