Bila tiba masa makan, semua ahli keluarga wajib berkumpul di meja makan kerana itulah 'pusat pentadbirannya'
MEJA MAKAN
Ini meja makan di rumah saya. Anda lihat susun atur di atas meja itu. Pinggan dan cawan plastik itu disusun oleh anak saya yang berumur dua tahun.
Dulu, ibu bapa saya melatih kami adik-beradik beberapa perkara, iaitu:
- Apabila tiba masa makan tak kiralah kami lapar atau tidak, dah makan atau belum, kami kena berkumpul di meja makan di dapur. Pada hari minggu, minum petang dan makan malam adalah waktu wajib berkumpul. Pada hujung minggu, semua waktu makan adalah waktu wajib berkumpul.
- Masa makan, adalah masa beri laporan harian. Belajar apa di sekolah, makan apa di sekolah, Tonton kartun apa petang tadi, keputusan peperiksaan dan sebagainya. Masa itu jugalah nak sampaikan pesan apa-apa. Cikgu suruh bawa kertas warna, tarikh mesyuarat PIBG dan lain-lain.
- Apa sahaja yang dihidangkan, kami kena makan. Tiada istilah kalau lauk itu saya tak suka, saya akan dapat lauk gantian (contoh: telur goreng). Jangan berangan. Kalau kami keluar makan pula, kami selalunya akan order makanan hidang, jarang ala-carte. Jika order ala-carte, kami order makanan lain-lain tapi pasti kami kongsi supaya semua orang dapat merasa.
Nampak seperti ibu bapa saya rigid, tetapi sebenarnya ada banyak kebaikan dalam amalan yang mereka budayakan ini.
0. Adik-beradik saya, semuanya jadi doktor (seorang masih pelajar perubatan).
1. Jimat masa dan tenaga. Semua orang makan serentak, jadi perlu makanan hidang sekali dan cuci pinggan mangkuk juga sekali harung. Di samping itu, waktu makan juga jadi teratur. Ini baik untuk kesihatan tubuh badan.
2. Ada masa bersosial yang tetap. Aktiviti dan peristiwa harian dilaporkan kepada ibu bapa setiap hari kerana laporan-laporan ini, ibu bapa saya kenal hampir semua kawan-kawan saya dan adik-beradik saya. Kami juga sentiasa sepakat dalam membuat keputusan.
3. Adik-beradik saya tiada yang cerewet bab makan. Kami makan semua aneka lauk-pauk, kuih-muih, buah-buahan, sayur-sayuran, asalkan halal. Ketika anak saya berumur 6 bulan, ibu bapa saya dah ajar anak saya rasa makanan harian yang kami makan. Hasilnya, kini anak saya tak cerewet sangat bab makan. Peria pun dia makan.
4. Selain itu, anak saya membesar melihat datuk dan nenek dia, pakcik dan makcik dia, ibu bapa dia makan pakai tangan dan pakai sudu garfu. Jadi pada umur dia satu tahun, dia sudah mula belajar menggunakan peralatan. Kawalan motor halus mula dilatih pada usia itu.
Umur dia dua tahun, dia sudah pandai memegang pensel dengan cara yang betul seperti orang dewasa. Saya tidak ajak bagaimana nak pegang, saya cuma perlihat macam mana saya pegang pensel.
5. Pada umur dua tahun setengah, anak saya dah tahu meja makan adalah tempat untuk berkumpul. Dia tahu bagaimana nak susun atur pinggan dan cawan di atas meja. Setiap hari, jam 10 malam, bila saya balik dari kerja, anak saya akan temankan saya makan malam. Tak kiralah dia dah makan ke belum, dia akan makan bersama atau teman saya makan.
6. Saya ada pembantu rumah. Selepas makan, pembantu rumah akan kemas meja. Jadi selepas makan, anak saya akan ambil tisu dan lap meja. Kalau makan di luar pun, selepas makan dia nak lap meja. Dia lap tak bersih pun. Yang penting dia faham konsepnya.
Pada saya, dalam setiap rumah, meja makan adalah pusat pentadbirannya. Di situlah rezeki dinikmati, di situlah diskusi dan perbincangan dilakukan. Di situ jugalah budaya, disiplin dan sahsiah dibentuk.
Oleh itu, pastikan meja makan di rumah anda sentiasa kemas, bersih dan teratur.
Semoga kita semua suskes!
Aktivis Meja Makan
Nota: Jika tiada meja makan, gantikan dengan tikar. Sama sahaja mujarabnya. Jemput follow Facebook beliau di SINI.
from The Reporter http://ift.tt/2rWTqg0
via IFTTT