JOHOR BAHRU - Kubur Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11, digali semula petang semalam, lapor Berita Harian.
Ibu saudaranya, Dzuraidah Ahmad berkata, proses berkenaan bermula pada jam 3 petang di Tanah Perkuburan Islam FELDA Bukit Aping, Kota Tinggi.
"Memang benar kubur Thaqif digali semula petang tadi dengan disaksikan beberapa ahli keluarga bagi membolehkan sampel kaki Allahyarham diambil untuk tujuan siasatan lanjut.
"Selain pihak hospital, polis dan pihak mahkamah turut berada di lokasi ketika proses menggali kubur arwah dilakukan," katanya.
Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA), Mohd Zahid Mahmood terkilan dengan kelewatan pihak berkuasa mendedahkan laporan perubatan kematian pelajar tahfiz, bulan lalu.
Beliau mengesyaki ada sesuatu yang cuba disembunyikan dan tidak dapat didedahkan kepada umum.
"Mungkin ada sebab tertentu yang kerajaan dan pihak perubatan (Kementerian Kesihatan) tidak cerita apa sebenarnya kes Thaqif.
"Dari segi polis, mereka sudah tahu sebab kata dua minggu sahaja laporan perubatan. Tetapi kita dapati pembantu warden yang ditahan reman sebelum ini dibebaskan atas jaminan bon mahkamah.
"Yang menjadi musykil, apa sebenarnya punca Thaqif meninggal? Tidak ada laporan daripada pihak perubatan. Kami tidak mendapat maklum sehingga hari ini," katanya memetik laporan dari Free Malaysia Today.
Zahid juga mendakwa ada sesetengah pihak cuba mengambil kesempatan melalui kes Thaqif utuk menggambarkan sekolah tahfiz sebagai sarang pengganas.
Justeru Zahid meminta kerajaan mengumumkan laporan kematian Thaqif kepada umum agar dapat membersihkan nama sekolah tahfiz yang beroperasi di seluruh negara, khususnya MTAJ dan pembantu warden itu sendiri. - The Reporter
from The Reporter http://ift.tt/2rwTqEe
via IFTTT