'Lantaklah nak makan mana, kami bayar duit'


BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG - Gambar seorang lelaki dan wanita yang dipercayai suami isteri beragama Islam, makan di sebuah restoran secara terbuka, viral di media sosial. 

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari semalam di Restoran The Chicken Rice Shop di Mydin Jalan Baru, Bukit Mertajam, lelaki itu pada awalnya memesan makanan untuk isterinya makan. 

"Mula-mula masa ambil pesanan, lelaki itu kata, isteri dia yang nak makan. Tapi bila hantar makanan, lelaki itu pula yang makan. 

"Bila krew restoran tegur lelaki itu dengan elok-elok bahawa orang Islam jangan makan di sini kalau nak makan, tunggulah waktu berbuka puasa tidak lama lagi.

"Lelaki itu menengking krew kami, 'Lantaklah nak makan mana. Kami bayar duit, kubur masing-masing," katanya. 

Menurut pengadu, pasangan itu langsung tidak menghormati bulan puasa. Biarpun ramai yang melihat mereka makan, namun pasangna itu langsung tidak malu. 

"Kalau Jabatan Agama Islam datang, pihak restoran yang akan disaman, RM5,000 seorang kerana membenarkan orang Islam makan dalam premis secara terbuka," katanya lagi.

Sementara itu, kakitangan Mydin, Nur Aleeya, mengesahkan kejadian itu memang berlaku di premis berkenaan. 

"Saya kerja di Mydin. Gambar ini sah berlaku tengah hari tadi sebab saya perasan juga pasangan ini duduk di restoran itu dengan selambanya makan," katanya.

Bagi Jaraful Warner pula, pihak restoran sepatutnya lebih bijak menangani isu ini. 

"Jika pesanan yang dibuat untuk wanita itu sekalipun, sepatutnya pihak restoran bungkuskan saja makanan itu untuk mereka, bukannya membenarkan mereka makan dalam restoran.

"Jadi tak perlu pening dengan isu ini kerana pihak restoran yang memberikan perkhidmatan," katanya. 


from The Reporter http://ift.tt/2tsT9Cj
via IFTTT