'Siang malam buat kerja, tetapi dapat bonus RM0.00...' - Staff Kurier


Bayangkan jika anda sudah lama bekerja mengerahkan tenaga dan menuruti segala arahan dan perintah pegawai atasan, tiba-tiba anda diberikan markah yang rendah sehingga menyebabkan anda tidak layak diberikan bonus. Apa perasaan anda ketika itu? 

Pastinya kecewa kerana usaha anda selama ini tidak dihargai. Itulah yang berlaku kepada seorang kakitangan Pos Laju yang kesal dimana dia tidak layak menerima bonus kerana markah prestasi tahunannya yang agak rendah. 

Menurut Tom Yana, status yang dimuat naiknya pada 8.09 malam, Khamis lalu bukanlah bertujuan memburukkan nama syarikat. Tetapi mahu membuka mata orang atasan terhadap kakitangan bawahan yang tidak dihargai. 

"Kepada Dato Pos Malaysia yang dihormati. Saya sebagai pekerja bawahan kurier Pos Laju NP1 memuat naik status ini bukan bertujuan memburukkan nama syarikat, tetapi harus diingatkan kami pekerja bawahan bermain dengan hujan panas, bermandi peluh, berlapar dahaga di bawah panas matahari terik sepanjang hari.

"Paling tepatnya sejak keluar dari rumah seawal jam 4 pagi masuk kerja dan balik rumah selewat jam 9 malam. Kerja penat lelah semput sampai sakit-sakit masuk keluar hospital. Sabtu, kadang-kadang Ahad kami korbankan masa dengan keluarga demi menggalas tanggungjawab ini. Tetapi ini hasil yang diberi oleh pihak atasan kepada kami. 

"RM0.00 BONUS saya dapat tahun ini dengan markah prestasi 44.9 sebelum ini. Sudah empat tahun merasa prestasi tahap dua, tetapi tiada apa-apa juga hasilnya walaupun sedikit.

"Kami ada anak dan isteri yang juga perlu diberi makan, pakai lebih-lebih lagi di harai raya yang bakal menjelang tiba. 

"Saya tahu kadang-kadang saya melawan ketua, mc disebabkan sakit saya, tetapi inikah pembayaran tahunan kerja sepanjang tahun ini? Saya di luar pejabat cuba buat kerja sehabis mungkin. Kadang-kadang sampai ke waktu malam sebab saya fikir memang tanggungjawab saya sebagai seorang kurier. 

"Tolong beri sedikit timbang rasa dengan gaji kami yang kecil dan tidak seberapa ini untuk membayar hutang rumah, kereta, bil utiliti, makan pakai dan yang lain-lain. 

"Diharapkan status ini dapat disampaikan kepada Dato Pos Malaysia dan cuba pertimbangkan semula apa yang saya luahkan. Tidak pernah saya menangis bila melihat surat ini dan inilah kali pertama saya menangis kerana mengenangkan anak dan isteri untuk dibeli segala persiapan untuk menyambut hari raya yang bakal menjelang tidak lama lagi. 

"Minta maaf andaikata saya tersilap dan membuatkan sesetengah pihak berasa kurang senang dengan tindakan saya. Salam dari kakitangan yang sudah berkhidmat di Pos Laju Kuala Lumpur," katanya. 


from The Reporter http://ift.tt/2rC053z
via IFTTT