'Budak lelaki, 7, rogol anak perempuan saya berusia 6 tahun' - Ibu mangsa


MELAKA - Seorang ibu tunggal membuat laporan polis mendakwa anak perempuannya yang berumur enam tahun telah dirogol oleh seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun, lapor The Star.

Adalah sukar untuk dipercayai, namun laporan polis telah dibuat terhadap murid tahun satu itu yang didakwa telah merogol mangsa yang berusia enam tahun. Kes itu juga menimbulkan kebingungan pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, ibu tunggal berumur 30 tahun itu membuat laporan polis pada 20 Julai dan pihaknya sedang menjalankan siasatan.

"Siasatan kes ini hampir selesai," katanya kepada media semalam.

Wanita terbabit mendakwa anak perempuannya berumur enam tahun mengadu mengalami kesakitan di bahagian kemaluannya selepas pulang dari rumah pengasuh, pada malam 19 Julai lalu. 

Difahamkan, kanak-kanak terbabit kebiasaannya ditinggal di rumah pengasuh, berhampiran sekolah tadikanya sehingga ibunya datang mengambil dia selepas pulang dari bekerja.

Apabila kanak-kanak itu mengadu terasa sakit di bahagian kemaluan, si ibu terus memeriksa dan mendapati terdapat kesan-kesan merah di kemaluan anaknya itu. 

Berdasarkan laporan polis yang dibuat, kanak-kanak itu memberitahu ibunya bahawa 'pipit' 'abang', anak lelaki pengasuhnya, yang menyebabkan kemaluannya terasa sakit. 

Dia juga mendakwa, anak pengasuh itu turut memasukkan beberapa jari ke dalam kemaluannya apabila mereka tidak diperhati orang dewasa di dalam rumah pengasuh itu. 

Hasil pemeriksaan, laporan perubatan yang dikeluarkan oleh Hospital Melaka mendapati terdapat kesan koyakan pada selaput dara kanak-kanak perempuan berkenaan. 

Berikutan laporan polis yang dibuat ibu mangsa dan laporan perubatan dari Hospital Melaka, polis kemudian memanggil ibu bapa kedua-dua kanak-kanak terlibat untuk disoal siasat. 

Kamaluddin juga telah mengarahkan para pegawainya yang mengendalikan kes itu menyiasat dengan bijak dan teliti kerana ia melibatkan kanak-kanak. 

Difahamkan, pihak polis juga menggunakan anak patung dalam proses merakam keterangan dua kanak-kanak berkenaan dan kes disiasat di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak Bil. 2017


from The Reporter http://ift.tt/2h4j7uE
via IFTTT