4 ditahan, bawa penumpang dengan perut terburai


KAJANG, SELANGOR - Empat lelaki ditahan selepas polis menahan kereta mereka yang juga membawa seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah dan perutnya terburai dalam sekatan jalan raya di Jalan Reko, semalam, lapor Harian Metro. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pemandu kereta Honda Accord berwarna kelabu yang dinaiki lima lelaki itu berada dalam keadaan mencurigakan. 

Pemandu kereta terbabit yang kelihatan gelisah cuba menyogok polis ketika pemeriksaan dilakukan menyebabkan polis membuat pemeriksaan secara menyeluruh dan menemui seorang penumpang lelaki berada dalam keadaan berlumuran darah dan perut terburai. Polis juga turut menemui sebilah parang yang disimpan di bonet belakang. 

"Lelaki yang parah dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan. Mangsa dirawat di Zon Merah, Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang dalam keadaan stabil.

"Empat yang lain ditahan dan dibawa ke IPD Kajang untuk tindakan lanjut," katanya. 

Berdasarkan keterangan awal mangsa yang berusia 23 tahun, dia pergi ke PV20 Setapak, Kuala lumpur untuk berjumpa seorang suspek kira-kira jam 11 malam. Sebaik saja tiba di lokasi, dia mendakwa dikepung lapan hingga sembilan lelaki yang terus menyerangnya. 

"Suspek menetak mangsa menggunakan sebilah parang dan membawanya menaiki kereta ke arah Kajang bersama tiga lagi suspek.

"Salah seorang suspek mengaku menikam mangsa di PV20, Setapak kerana cemburu," katanya. 

Pemeriksaan mendapati keempat-empat suspek berusia 21 hingga 30 tahun mempunyai rekod lampau dan semua diserahkan ke IPD Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya. 


from The Reporter http://ift.tt/2wmyc1r
via IFTTT