MELAKA - Pasangan di Melaka yang mahu bertunang, perlu mengisi borang bertunang bagi menjaga kepentingan kedua-dua pihak.
Kebiasaannya, pertunangan hanya diikat secara lisan dengan cincin sebagai tanda. Namun di Melaka pula berbeza cara ada adatnya.
Dalam laporan akhbar Berita Harian 24 Ogos 2017, borang bertunang itu dinamakan sebagai Perjanjian Pertunangan, yang mempunyai terma yang mengikat kedua-dua pihak kepada perjanjian tersebut.
Antaranya:
- Jika pihak perempuan memutuskan pertunangan, pihak lelaki berhak mendapatkan kembali cincin dan wang pendahuluan yang telah diberikan.
- Jika berlaku sebaliknya, cincin dan wang pendahuluan menjadi hak pihak perempuan.
Setiausaha Persatuan Sidang Melaka, Muslihin Muhammad, berkata, borang pertunangan itu sudah lama diwujudkan dan tercatat dalam sebuah buku panduan adat pada 1980-an oleh Persatuan Ketua-Ketua Kampung (Sidang) Melaka yang ditubuhkan sejak 1960.
Perlaksanaan borang itu kembali diwujudkan semula sejak 2010, namun telah ditambah baik pada 2011 dan seterusnya 2013, yang kini dilihat lebih sistematik.
"Penggunaan borang pertunangan ini bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak dalam urusan peminangan, sebaliknya memudahkan kerana dalam borang itu sudah tertulis segala perkara yang akan dibincangkan pada majlis yang dijalankan," katanya kepada wartawan Berita Harian.
"Jika dahulu segala perbincangan untuk merisik dan pertunangan dijalankan secara lisan antara pihak lelaki dan wanita, malah hanya dibukukan dalam buku kecil tanpa sebarang hitam putih diketuai ketua adat (sidang).
"Dalam lampiran borang (terkini) itu mengandungi nama pasangan bertunang, nombor MyKad dan alamat selain memuat perkara mengenai tanda dan nilai pertunangan yang dibawa, jumlah hantaran dan tempoh pertunangan.
"Menerusi borang yang disediakan itu, pasangan berkenaan perlu mengikut tempoh pertunangan, iaitu sekiranya pasangan bersetuju mengikat dalam tempoh setahun, maka majlis boleh dipercepatkan atau tepat dalam tempoh. Namun tidak boleh melebihi tempoh itu.
"Jika majlis pernikahan yang dirancang melepasi tempoh pertunangan yang dimeterai dalam borang tersebut, pihak lelaki perlu berbincang dengan pihak perempuan dan memaklumkannya kepada Sidang berhubung kelewatan berkenaan," katanya.
Turut disertakan dalam borang pertunangan itu adalah beberapa peringatan dan syarat kerana ia bukan sahaja menjaga maruah pasnagan, malah mengangkat adat masyarakat Melayu.
"Ketika dalam tempoh pertunangan, secara adatnya, pasangan tidak dibenar berdua-duaan sehingga boleh menimbulkan fitnah dan sidang berhak menegur perlakuan sumbang pasangan berkenaan," katanya.
Sementara itu, Azyan Nadhira Azmi yang bakal berkahwin pada Februari 2017, berkata, Dokumen Perjanjian Pertunangan itu umpama saksi ikatan yang dimeterai di antara dia dengan pasangannya. Selain itu, itu juga mampu membela mana-mana pihak jika berlaku sebarang kepincangan.
"Ia seperti hitam putih hubungan yang diikat, iaitu sebelum majlis pertunangan dijalankan.
"Sidang juga bertanya kepada saya jika majlis itu diadakan atas dasar suka sama suka atau dorongan paksaan dari mana-mana pihak," katanya.
Bagi Azyan, urusan untuk mengisi borang tersebut tidaklah rumit dan pasangan hanya perlu menyerahkan salinan MyKad sebagai bukti ikatan menerusi borang, selain resit pembelian tanda pertunangan seperti cincin atau gelang tangan.
"Saya menyokong penggunaan borang ini kerana ia adalah satu daripada cara untuk memberi keadilan kepada mana-mana pihak sekiranya pertunangan itu diputuskan," katanya.
Sumber: Akhbar Berita Harian 24 Ogos 2017
from The Reporter http://ift.tt/2g7yMcx
via IFTTT