Pegawai yang bertugas beritahu 'this is just a minor problem' - Kinsiah Kin


KOTA KINABALU, SABAH - Viral di media sosial gambar salinan kad pengenalan seorang wanita yang didakwa telah disalahgunakan oleh wanita yang tidak dikenali. 

Pemilik asal kad pengenalan tersebut, Kinsiah Kin, berkata, kad pengenalannya dulu pernah hilang selepas rumahnya dimasuki pencuri. 

"Rumah pernah dimasuki pencuri dulu. Itulah kad pengenalan saya disalahgunakan. Gambar itu saja yang kena tukar," katanya. 

Sejurus mendapat tahu perkara itu, Kinsiah segera membuat laporan polis sebelum membuat aduan ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kingfisher. Namun Kinsiah mendakwa, masalahnya dianggap kecil oleh pegawai yang bertugas. 


"Saya dapat tahu saja, saya terus pergi buat laporan polis, kemudian pergi JPN. Tetapi kes saya tidak dipandang dan dianggap sebagai masalah kecil sahaja oleh pegawai yang bertugas," katanya. 

Menurut Kinsiah, kes ini sudah lama dan baru hari ini dimuat naik ke akaun Facebooknya. 

"Saya pun dapat tahu perkara ini dari kakak saya sebab dia bekerja di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Masa itu dia sedang menguruskan kad pengendali makanan yang berwarna kuning yang mana jika ada pihak restoran atau kedai makanan, semua kakitangan mereka perlu memohon kad pengendali makanan. 


"Selepas itu kakak saya ternampak permohonan pembaharuan kad pengendali makanan itu dalam senarai nama-nama kakitangan dan ada disertakan sekali salinan kad pengenalan bagi setiap kakitangan mereka. 

"Nama tempat kerja individu yang menggunakan kad pengenalan palsu ini di Restoran Kohinor di Kota Kinabalu," katanya. 

Semasa membuat aduan mengenai perkara itu di JPN Kingfisher untuk meminta tindakan lanjut, namun respon yang diterima tidak begitu memuaskan hati Kinsiah. 

"Pegawai yang bertugas beritahu 'this is just a minor problem', orang yang guna kad pengenalan saya ini bukan boleh buat apa-apa atau bagi saya masalah. Ini yang dimaklumkan kepada saya. 


"Saya berkeras juga meminta JPN ambil tindakan yang sewajarnya tetapi akhirnya saya cuma disuruh membuat cabutan kad pengenalan sahaja dan kemudian aduan saya tidak dilayan. Saya dan ibu bapa turun naik di JPN Kingfisher untuk menguruskan kes ini," katanya. 

Gambar yang dimuat naik Kinsiah sejak jam 10.30 malam semalam telah dikongsi 669 pengguna Facebook yang rata-rata mempersoalkan tiadanya tindakan sewajarnya dari pihak berkenaan. Ini kerana ramai netizen yang bimbang jika kad pengenalan yang tertera nama, alamat, nombor kad pengenalan mereka disalahgunakan untuk melakukan jenayah yang akan menyusahkan pemiliknya di kemudian hari. 

Beberapa netizen juga tampil berkongsi pengalaman yang sama. 


"Sama seperti kes yang berlaku pada saya. Gara-gara si jahanam ini, saya kena blacklist. Sampai sekarang kes ini masih belum selesai," kata Shamsiran Zulkifli. 

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Amal Prihatin Sabah, Ds Chazy, meminta pihak JPN memberi penjelasan mengenai isu yang didakwa sebagai kes terpencil ini. 

"Saya mohon respon dari pihak JPN, sejauh mana tindakan anda untuk menangani kes ini? Adakah kes ini terpencil akan tetapi personal data mangsa boleh digunakan secara valid oleh pemegang kad pengenalan palsu?," soalnya.


from The Reporter http://ift.tt/2uKCMX0
via IFTTT