Saya ibu kepada 3 zuriat yang Alhamdulillah sihat sempurna. Saya pernah berpisah dengan suami pada tahun 2013 dan bernikah semula pada 2015. Agak lama saya ambil keputusan untuk bernikah semula tetapi atas kesungguhan suami dan saya nampak usaha dia untuk memperbaiki diri saya terima kembali dia sebagai suami. Tetapi, perubahan dia hanyalah untuk menambat hati saya, sikap lamanya semakin lama semakin terserlah.
Dia tiada masa untuk saya dan anak-anak. Kehidupannya hanya di luar. Keluar jam 10 pagi, balik rumah jam 4 atau 5 pagi keesokan hari. Bila berada di rumah, dia akan tidur tanpa menghiraukan saya dan anak-anak. Solatnya memang susah nak tengok. Dia juga peminum ketum tegar.
Bermacam-macam cara saya sudah lakukan. Melalui nasihat, melalui pujukan, marah, bergaduh, bertengkar tetapi dia tetap dengan sikap dia yang seolah-olah remaja yang sedang meningkat usia. Bertambah teruk jika ada masalah, dia kerap mengambil jalan singkat dengan berkenalan dengan wanita lain bagi mengurangkan rasa marah pada saya, untuk tenangkan fikiran kata dia.
Allahuakbar.
Saya selalu nasihatkan dia, "Tolonglah berubah jika sayangkan rumah tangga ini. Anak-anak semakin membesar, mereka terkesan dengan kepincangan rumah tangga kita."
Tetapi seperti mencurah air ke daun keladi. Bila saya nasihatkan;
"Berkawanlah dengan mereka yang boleh bawak awak ke jalan kebaikan."
Dia jawab semula, "Kenapa? Kawan awak semua masuk syurga ke??"
Saya sampai segan bawa dia balik ke rumah ibu saya. Abang-abang saya tanya, "suami kamu tak solat ke? Umur dah 40 tahun."
Tentang tanggungjawab pada saya dan anak-anak, suami saya selalu acuh tak acuh. Dia selalu kata gaji dia RM1,800. Jadi dia tak mampu nak bayar banyak benda. Tapi untuk air ketum dan kehendak dia, dia mesti akan usaha sehabis daya.
Kami sudah hampir berbulan-bulan tidak bercakap, tiada bersembang, jalan-jalan bersama pun. Selalunya akan bergaduh sebab sebelum keluar dia mesti akan cakap yang dia kesuntukan masa kerana dah berjanji dengan kawan-kawan.
Saya mohon dia keluar dari rumah supaya dia dapat berfikir adakah bersama saya dan anak-anak hidup dia lebih tenang atau berada di luar sana lebih baik. Lagipun saya tidak mampu untuk menanggung dia. Saya boleh berusaha sehabis daya untuk anak-anak, tetapi bukan untuk dia.
Saya juga tidak menafikan yang kadang-kadang mulut saya memang terlalu kurang adab kerana saya sakit hati dan mata melihat kelakuan dia. Dia balik dari lepak jam 4 atau 5 pagi. Sampai di rumah terus tidur dalam keadaan yang kotor. Saya kejutkan anak solat subuh, dia lena dibuai mimpi. Bangun dari tidur bersiap-siap pula untuk keluar bersama rakan-rakan.
Saya sedang kuatkan hati saya untuk meninggalkan suami saya. Saya minta dia keluar dari rumah atau dalam bahasa kasar, menghalau dia dari rumah. Betulkah perbuatan saya ini ustaz? Saya sentiasa berdoa pd Allah supaya Allah lembutkan hati kami berdua. Tetapi setiap kali itulah ada saja perkara yang membuatkan saya marah kepada dia.
Terima kasih ustaz..
Wassalam
INI TIPS UNTUK WANITA YANG DITINGGALKAN SUAMI DAN ADA MASALAH SERTA BUAT WANITA YANG TERSEKSA HIDUP DENGAN SEORANG LELAKI
1. Hiduplah bukan dengan pesan dan janji. Selagi kita hidup dengan dua perkara ini, kita akan sakit setengah mati setiap hari. Hiduplah dengan bekal yang masih berbaki. Hiduplah demi anak-anak dan keluarga yang masih ada ini. Bukan hidup dengan acah-acah saya selalu di sini, walau jauh tetap merindui, awak tiada rasa sunyi. Mohon meninggal dengan lelaki yang berjanji macam ni.
2. Biarpun tiada lagi lelaki di sisi, fahamilah dalam hidup ini, Allah nak beritahu kita juga mampu sendiri. Asalkan Allah itu kita jadikan kekuatan setiap hari. Belajarlah dan bacalah kisah wanita zaman Rasulullah yang diuji, bagaimana mereka menguatkan hati. Cukuplah disakiti, jangan disakiti lagi perasaan dengan mengingati segala memori.
3. Seterdaya dan semampu, jika nak mengharap dan menunggu, biarlah ia bersama usaha dan doa yang berkali dan beribu. Usaha dengan membaikkan diri menjadi seindah isteri dan berdoa agar hati lelaki itu dipulangkan kembali. Hamba itu, dia selalu berbaik sangka, dan berusaha untuk menjadikan apa yang disangka baik terjadi dengan izinnya.
4. Dalam waktu yang sakit ini, biarlah lelaki yang kita sayangi pergi. Biarlah dia mencari yang lebih baik lagi. Biarlah dia mencari hidup sendiri. Biarlah hidup kita yang kosong itu tidak terisi, tetapi ada Allah dan anak-anak yang menemani. Berilah ruang untuk kita dan dia memahami, apa erti cinta dan perkahwinan selama ini. Dia akan kembali, kerana tiada wanita sebaik isteri, iaitu diri anda sendiri.
5. Jangan cerita atau berkongsi soal hati dengan lelaki. Siapa pun lelaki itu, Ustaz ke, P.U ke, imam muda ke, atau Mufti kerana mereka semua lelaki. Lelaki yang selalu goyah saat di uji dengan wanita-wanita hari ini. Cerita dan kongsilah dengan rakan baik sebagai kekuatan, atau jika malu dengan keluarga dan sesiapa, luahkanlah pada Allah yang Maha Mendengar setiap hari. Sekali lelaki mengetahui, kita akan dikejar setiap hari, konon mengubati tetapi hati itu akan diseksa lagi sampai setengah mati dengan tipu dan janji.
Saya cerita sebab saya lelaki.
LELAKI REALITI
Lelaki yang diuji dan diuji berkali-kali dengan perkara yang paling diuji, iaitu WANITA YANG SUNYI. Tolonglah jangan percayakan lelaki dalam hal hati, kecuali lelaki itu adalah suami anda sendiri. Hati anda itu Milik Allah. Jika disakiti, pulangkan semula pada Allah kembali, bukan dikongsi dengan lelaki yang penuh dengan janji. Maaf lelaki, kita perlu jadi baik, kerana dunia memerlukan lelaki yang baik hari ini.
Sumber: Abu Hurairah Asifa
from The Reporter http://ift.tt/2wmi3ti
via IFTTT