Baru-baru ini, viral gambar sebuah kedai dobi yang meletakkan papan tanda yang menyatakan perkhidmatan dobi layan diri di premis itu hanya boleh digunakan oleh pengguna beragama Islam sahaja, menimbulkan pelbagai reaksi netizen.
Bagaimanapun, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mengarahkan pemilik dobi itu berhenti berbuat demikian atau berdepan dengan tindakan ditutup oleh baginda sendiri.
"Beta tidak boleh terima perkara mengarut seperti ini. Ini adalah negeri Johor, negeri milik Bangsa Johor dan milik semua rakyat tidak kira bangsa dan agama. Negeri ini adalah progresif, moden dan bersederhana.
"Ini bukan negara Taliban dan sebagai Ketua Agama Islam di Johor, beta merasakan tindakan ini sama sekali tidak boleh diterima dan bersifat ekstremis," titah baginda, memetik laporan dari mStar Online.
"Beta mahu pemilik dobi itu memohon maaf kepada beta dan seluruh rakyat Johor. Dia telah membuat orang Johor malu dan marah kerana ini bukanlah apa yang Johor mahukan.
"Pemilik itu juga telah melanggar visi Johor untuk bersatu, hidup harmoni, bersederhana dan bertoleransi. Kalau dia mahu meneruskan juga perkhidmatan dobi Muslim itu, dia boleh keluar dari Johor. Beta cadangkan dia buka kedai di Afghanistan. Pemikirannya sempit dan tidak seiring dengan apa yang diperjuangkan di negeri ini," titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah, tindakan pemilik dobi itu telah mengejutkan baginda dan keluarga. Bagi baginda, jika perbuatan itu tidak dihentikan, ia akan membuka ruang untuk lebih banyak perbuatan yang berfikiran sempit dilakukan atas nama Islam.
Menurut Sultan Ibrahim, pemilik dobi itu pada mulanya meletakkan papan tanda untuk Muslim sahaja. Namun apabila isu ini mula mendapat perhatian banyak pihak, pemiliknya menukar papan tanda kepada 'Mesra Muslim'.
"Tak usah berlagak pandai, ia tetap sama. Pemilik dobi itu perlu dibersihkan otaknya.
"Beta mahu hentikan ekstremism. Perlakuan ekstremis tiada tempat di negeri beta. Kita ada maruah sebagai Bangsa Johor dan beta mahu tahu di mana pemilik dobi itu belajar agama? Islam mengajar untuk bertoleransi dan menghormati kepercayaan orang lain," titah baginda, semalam.
Susulan arahan Sultan Johor itu, pemilik dobi Elit Laundry memohon maaf di atas tindakannya yang akur dengan arahan dan titah Sultan Johor untuk menurunkan papan tanda berkenaan.
"Saya kesal dengan isu ini dan akan mematuhi titah Tuanku. Saya tidak sedar mengenai perkara ini pada awalnya. Saya hanya mengetahuinya selepas rakan-rakan memaklumkan tentang titah Tuanku.
"Saya memohon maaf pada Tuanku, rakyat Johor di atas apa yang berlaku dan berharap kekecohan selama beberapa hari ini akan reda. Saya sudah tidak menggunakan papan tanda berkenaan," katanya yang telah menurunkan papan tanda itu pada pagi tadi.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan pemilik dobi berkenaan hanyalah isu kecil yang tidak perlu diperbesarkan.
Dalam kenyataannya kepada Free Malaysia Today, Nadzim berkata, pemilik dobi tidak menyakitkan hati sesiapa kerana pemiliknya faham tentang Islam.
"Saya tidak fikir orang buat ini untuk menyakitkan hati siapa-siapa. Sebab dia faham tentang Islam," katanya.
Sebagai contoh, Nadzim beralih kepada isu diskriminasi di tempat kerja yang mana ada sesetengah tempat/syarikat yang hanya mahu mengambil pekerja berbangsa Cina sahaja.
"Contoh tempat kerja hanya orang Cina sahaja.
"Pada saya, tak ada isu dan tidak seharusnya diambil sebagai isu. (Sebaliknya) diambil secara baik. Tetapi diperingkat orang ramai tak perlu dijadikan politik.
"Bagi saya, kita harus berlapang dada, kita tidak harus jadikan isu. Macam saya, akan pergi kedai itu sebab saya nak bersih. Kalau orang lain tak nak, itu hak dia," katanya.
from The Reporter http://ift.tt/2wVYIKU
via IFTTT