KUALA LUMPUR - Raymond Lee atau nama sebenar Lee How Kim, 26, kontraktor dijatuhkan hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini selepas mengaku bersalah, lapor Harian Metro.
Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman denda itu dan turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan.
Mengikut pertuduhan, Lee didakwa telah menggunakan aplikasi Facebook di atas nama Raymond Lee secara sedar ketika memuat naik gambar borang saman trafik dan gambar cermin pintu kereta yang ditampal dengan penghadang cahaya.
Selain itu, Lee juga memulakan penghantaran komen palsu dengan niat menganiaya orang lain pada jam 4.10 petang, 6 September lalu.
Kes itu didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Laporan analisa Digital Forensik juga mengesahkan bahawa telefon bimbit yang dirampas dari tertuduh mengandung gambar buang saman trafik dan gambar cermin pintu kereta.
Susulan viral itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias juga turut mengeluarkan kenyataan penafian terhadap dakwaan Raymond Lee itu.
"Kenderaan tersebut telah ditahan kerana cermin gelap. Saman telah dikeluarkan oleh anggota trafik di bawah Seksyen 4(B) PU (A) 039/91 dalam Akta Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu).
"Gambar sunshade yang ditularkan itu adalah gambar yang diambil dari laman web Google dan bukanlah gambar sebenar kenderaan tersebut," kata kenyataan beliau yang dikeluarkan pada 7 September lalu.
from The Reporter http://ift.tt/2ffnNgW
via IFTTT