'Rumah yang dulu penuh dengan gelak tawa, tangisan, jeritan bagai, kini semuanya hanya tinggal kenangan'
Terasa sebak dan insaf membaca kisah yang dikongsikan oleh pemandu Grab ini. Kisah penumpangnya yang telah kehilangan suami sebelum sempat mencapai impian bersama untuk mengelilingi dunia. Si ibu yang sudah berpencen ini pergi ke luar negara bersama beberapa rakannya berkongsi kisah betapa dia merindukan saat-saat membesarkan anak-anaknya, yang kini hanya tinggal kenangan.
SUDAH beberapa bulan saya tidak menjadi pemandu Grab. Tuntutan tanggungjawap yang lain membuatkan saya terpaksa 'hold' dulu kerja 'part time' ini. Namun baru-baru ini ketika saya memulakan tugas, saya menerima permintaan dari seorang penumpang yang ingin pergi ke KLIA.
Saya terus menuju ke lokasi penumpang berkenaan. Bila saya tiba di lokasi, saya ternampak seorang wanita yang saya kira dalam lewat 50 tahun berdiri dengan sebuah luggage di tepinya. Apabila saya memberhentikan kereta, terus saya membantu beliau menyimpan luggage tersebut ke dalam kereta. Saya meneruskan perjalanan. Suasana agak sepi seketika. Sehinggalah saya memberanikan diri bertanya beliau.
“Puan seorang saja? Nak bercuti ke mana?”
“Oh. Saya pergi dengan kawan-kawan. Masing-masing jumpa di KLIA. Kami buat trip tour Europe. Geng orang-orang pencen”, balas beliau.
Saya hanya menganggukkan sahaja jawapan beliau. Sepanjang perjalanan beliau rancak bersembang. Dalam hati, puan ini mesti mempunyai kerjaya yang hebat kerana terlalu banyak isu yang beliau ketengahkan sehinggalah ada satu perkara yang membuat saya terasa sebak.
KISAHNYA BEGINI:
"Suami pergi meninggalkan saya kira-kira 8 tahun yang lalu. Masa itu kami masih belum bersara, ada lebih kurang beberapa tahun lagi untuk bersara. Impian kami berdua, seandainya sudah bersara kami bercadang untuk mengelilingi dunia menghabiskan sisa hari tua ketika Allah masih kurniakan badan yang sihat. Tapi kita hanya merancang, namun perancangan Allah lebih baik lagi. Suami pergi terlebih dahulu meninggalkan saya dan anak-anak.
"Di penghujung usia ini, apa yang saya akui bahawa saat membesarkan anak-anak itu sangat singkat. Jika dahulu saya dan arwah suami bertungkus lumus mencari rezeki, bersusah payah membesarkan anak-anak. Rumah walaupun ketika itu hanya mampu membeli rumah yang bersaiz kecil namun dipenuhi dengan gelak tawa, tangis, jeritan, gaduh, lucu, gurau senda dan macam-macam lagi. Buku, pensel, baju berterabur di lantai bilik. Bedak, sikat entah ke penjuru mana. Kain selimut, bantal berteraburan di bawah katil atau meja.
"Boleh dikatakan hari-hari saya akan menjerit menyuruh mereka diam, kemas buku-buku dan masukkan pakaian kotor ke dalam bakul kain kotor. Penat? Ya, memang memenatkan. Apabila waktu pagi, terkocoh-kocoh menyiapkan sarapan, kelengkapan anak kecil ke taska. Yang besar pula bertanya, “Mak, pensel tak ada.”. Seorang lagi menjerit, “Mak, sikat, bedak mana?” dan seorang lagi menjerit anak tudung dan stokinnya hilang. Dalam pada saya membebel itu dan ini, tetap juga mencari dan menyediakan apa yang anak-anak pintakan.
"Masa berlalu sangat pantas. Anak-anak yang kecil kini semuanya sudah meningkat dewasa. Malah ada yang sudah merantau meninggalkan kami. Apabila saya buka pintu bilik anak-anak, yang ada hanyalah katil yang kosong. Buka almari baju, yang tinggal beberapa helai baju.
"Apa yang tinggal hanyalah kesan kenangan dan bau anak-anak pada bantal, tilam dan persekitaran. Ya, setiap anak itu mempunyai bau 'istimewa' hanya seorang ibu sahaja yang tau. Saya akan hidu udara bilik itu sedalam-dalamnya untuk menghilangkan rasa rindu pada anak-anak. Memori gelak tawa tangis anak-anak dan kehangatan badan anak-anak bila dipeluk.
"Kini rumah saya bersih, kemas dan teratur. Tetapi saya rasakan ia bukan sesuatu yang indah kerana buka dan tutup pintu pun sendirian. Kalau dulu sayalah yang sentiasa menjerit menyuruh anak-anak menutup pintu dan tingkap. Anak-anak saya sudah mempunyai kehidupan sendiri. Saya juga kini sendiri kerana teman yang saya harapkan menjadi teman telah pergi dahulu meninggalkan saya. Walau apa pun saya sentiasa mendoakan agar anak-anak sentiasa dalam peliharaan Allah."
Sepanjang beliau bercerita, saya melihatnya dari cermin pandang belakang. Beliau bercerita dengan tenang dan penuh senyuman. Tidak mampu saya berkata apa-apa selain hanya menganggukkan kepala sahaja. Kerana setiap bait-bait ayatnya sangat meruntum jiwa, membuatkan saya sedar bahawa betapa banyaknya diri ini merungut-rungut dengan situasi ketika bersusah payah membesarkan anak-anak.
Apa yang boleh saya simpulkan dari cerita beliau bahawa, nikmatilah waktu yang sedang kita lalui kini dengan berlapang dada tanpa rungutan dan keluhan terutama ketika berpenat lelah membesarkan anak-anak. Kerana suatu hari nanti, ianya akan menjadi sejarah dan membuatkan kita rindu tatkala bersendirian meniti usia tua.
Kepada anak-anak yang masih mempunyai ibu dan bapa, jangan lupa untuk sentiasa menghubungi mereka. Dan paling utama sentiasa mendoakan kesejahteraan untuk mereka. Mungkin kita tidak ditakdirkan menjadi anak yang berpeluang menjaga mereka di penghujung usia, tetapi jadilah anak-anak yang menyejuk di mata, penawar di jiwa buat mereka.
Saya doakan yang terbaik buat semua. Hidup dalam positif penuh keceriaan. Bergembiralah.
Nota: Petang ini, saya belanja anak-anak makan aiskrim walaupun dalam kereta mereka menjerit, bergaduh dan bertumbuk. Mama is ok. Mama tak jerit-jerit lagi ok!
Sumber: Puan Fini Zaini
from The Reporter http://ift.tt/2f0wr38
via IFTTT