'14 hari dah cukup terseksa anak saya menanggung kesakitan disebabkan orang lain'


Pada awalnya, si ibu menyangka anaknya mengalami sakit biasa sahaja. Bagaimanapun setelah diperiksa, rupa-rupanya anak menghidap penyakit batuk kokol. 14 hari anak menanggung derita, membuatkan si ibu tidak sanggup melihat anaknya dalam keadaan terseksa begitu. Semoga menjadi pengajaran kepada ibu bapa yang ada anak kecil dan juga kepada semua orang agar memahami jika permintaan mereka untuk mendukung, memeluk, mencium anak kecil ditolak oleh ibu bapanya.

SUKA jadi duka. Cukuplah sekali, saya dah kena. Seriously, cukuplah. Tak sanggup rasanya nak menghadap dan kenang apa yang terjadi. Bisa di hati ini tak hilang lagi. Betul-betul beri pengajaran kepada saya. Biarlah selepas ini saya jadi paranoid dan kedekut. Saya tak kisah orang nak kata saya kera sumbang atau apa, janji saya tak menangis di kemudian hari. 

14 hari dah cukup terseksa anak kecil saya, Layyin, menanggung kesakitan disebabkan orang lain. Saya yang tengok pun azab, apatah lagi yang menanggungnya. 

Sehari selepas aqiqah, Yin dah lemah, mula batuk, selesema dan merengek. Saya tak bawa pergi berjumpa dengan doktor sebab saya cuba ikhtiar dulu di rumah. Mandikan dia dengan air lemon, guna strerimar dan nasal aspirator untuk sedut hingus sebab Yin belum demam lagi pun. Hari demi hari, keadaannya semakin merosot sampai dia muntah-muntah dan lembik sangat saya tengok. 


Ramai yang bertanya kenapa Yin masuk Hospital Columbia Asia, selepas itu Hospital Banting? Begini, Yin mula tidak sihat sehari selepas aqiqah iaitu hari Isnin, 2 Oktober 2017. Tetapi saya tak bawa pergi ke klinik lagi sebab masih di peringkat awal. 

Selepas tiga hari, Yin masih tak sihat walaupun dah bermacam-macam petua yang saya buat. Suami suruh bawa Yin pergi ke hospital tetapi saya belum bawa kerana suami tiada di Banting. 

Jam 4 pagi, 5 Oktober, Yin batuk dan sesak nafas. Saya dan pakngah bawa dia pergi ke Hospital Banting dapat nab. Kemudian balik sebab doktor kata dia okay. So, okay. 


Jam 3 pagi, 6 Oktober, Yin batuk sampai sesak nafas lagi. Saya sapu ubat asma saja. Kemudian dia tertidur sambil termengah-mengah. Kalau difikirkan balik, rasa kejam pula saya tak bawa dia terus ke hospital pada masa itu. 

Kemudian jam 7 pagi, suami datang, sebab masa itu saya dan Yin tidur di rumah mertua. Suami bawa pergi ke Hospital Columbia dan terus ditahan wad kerana doktor kata kahak sudah banyak dan perlu nab untuk cairkan kahak. 



Lima hari di Hospital Columbia Asia. Sampai 10 Oktober, Yin macam okay sikit dan doktor beri kebenaran untuk balik sebab saya ada minta untuk balik disebabkan tak dapat pindahkan Yin ke Hospital Banting. 

Jam 1 pagi, 11 Oktober, Yin batuk dan tercungap. Saya sapu minyak asma saja dan dia tertidur lagi. Jam 3 pagi, Yin mula batuk teruk dan sesak nafas sampai bibir dia menjadi biru. Suami terus suruh bersiap dan pergi ke Hospital Banting. Sampai di sana, MA bagi nab. Habis nab, keadaannya masih tidak berubah. 

Doktor datang tengok dan kata, "Anak you sudah sangat teruk. Cepat bawa masuk ke dalam, letak dia atas katil itu, buka baju dia." 





Masa itu dah macam cacing kepanasanlah saya. Laju gila doktor itu ke sana sini ambil itu ini, pasang sana sini. Cucuk Yin sana sini. Gila saya punya otak pada masa itu, entah nak fikir apa dah. 

Tidak lama kemudian, doktor kanak-kanak sampai, berjumpa dengan saya dan suami serta bertanya macam-macam mengenai Yin, minta ubat yang diberikan Hospital Columbia dan siasat bagaimana cara Yin dirawat di hospital berkenaan, tanya Yin menangis ada air mata ke tidak apa semua. 


Rupa-rupanya Yin dah dehydrate sebab kurang menyusu semasa sakit dan di Hospital Columbia pula, doktor dan jururawat tak pasang drip untuk bantu badan Yin dari dehydrate. 

Yin mula disuntik dengan bermacam-macam ubat apa entah. Saya yang azab melihat itu semua. Yin ditolak masuk ke wad pada jam 4.45 pagi. Dalam wad, doktor pakar pula datang siasat kes Yin. Rupanya Yin terkena jangkitan batuk kokol atau pertussis. Penyakit ini dibawa oleh orang dewasa dan kanak-kanak, tetapi penghidapnya kanak-kanak. Berpunca dari orang yang tidak sihat dan penyakit ini ada vaksinnya. 

Jadi semua bil hospital Yin adalah percuma walaupun Yin anak kakitangan kerajaan, GL suami tidak digunakan pun sebab semua ditanggung kerajaan. 

Kepada yang masih belum faham, Yin bukan demam, batuk, selesema biasa tetapi terkena jangkitan penyakit berjangkit yang perlu dikuarantin. Saya dan suami pun kena makan antibiotik yang dibekalkan oleh pihak hospital disebabkan benda itu virus. 




Yang ada anak kecil, duduk saja di rumah diam-diam. Kurangkan berada di dalam kelompok orang ramai. Mungkin rasa terkurung, tetapi itu lebih baik daripada kita yang sedih dan murung melihat anak menanggung derita kesakitan. Azab sungguh. 

Ayah Yin bukan perokok, tetapi tidak semestinya anak itu terhindar dari penyakit. Penyakit itu kita tidak tahu siapa pembawanya. Sebagai ibu dan ayah, kita memang perlu sentiasa berwaspada. Selepas ini jika ada sesiapa yang mahu mendekati anak saya, pastikan diri mereka 100% bersih. Lebih bagus kalau nak pegang anak saya, bersihkan diri 100%, barulah sentuh.

Tolong hormat ibu bapa yang ada anak kecil. Sebab saya tengok ramai saja orang di sekeliling yang ada anak kecil tetapi tidak mementingkan kesihatan anak. Merokok di depan anak pun selamba. Kalau tak sayang anak, itu masalah mereka. Tetapi anak saya, saya yang tentukan siapa yang boleh pegang. Asap rokok sangat berbahaya untuk kanak-kanak, boleh menyebabkan pneumonia. Tak pernah kena, boleh buat sambil lewa. Bila sudah terkena, merasalah deritanya. 


Semoga perkongsian saya ini bermanfaat untuk ibu bapa yang lain. Layyin Izz'Yara, ibu dan ayah kira orang yang bertuah kerana Allah izinkan untuk sembuh semula. Orang lain, dah bawa maut baru nak ada kesedaran. Tolonglah sayangi nyawa anak kita. Bukan senang nak melahirkan anak itu. 

Alhamdulillah Yin semakin sihat. Senyum gelak ketawa dia dah kembali menjadi milik saya. Semoga terus sihat seperti biasa hendaknya. 



from The Reporter http://ift.tt/2yyUqhg
via IFTTT