Awalnya dia menyangka murid perempuan berkenaan sengaja memberikan alasan biasa bagi mengelakkan dirinya dimarahi kerana sering memakai selipar ke sekolah. Namun, setelah dimaklumkan oleh guru kelas murid itu, alangkah tersentaknya hati dan timbul rasa bersalah dalam diri setelah mendapat tahu punca sebenar murid berkenaan memakai selipar.
Inilah 1,001 kisah yang tersirat dalam alam persekolahan dari Cikgu Mohd Fadli Salleh. Semoga bermanfaat.
DARI jauh aku perhatikan murid ini memakai selipar lagi datang ke sekolah. Sedikit geram dan marah aku rasa, sebab Jumaat lepas aku dah tegur. Tetapi katanya kasut basah. Hari Isnin dan Selasa pun katanya kasut basah lagi. Aku maafkan dan pesan supaya jaga kasut elok-elok. Jemur belakang peti sejuk dan letakkan surat khabar dalam kasut, pesanku. Dia angguk saja sambil menunduk.
Tetapi Rabu lepas, dia masih tak pakai kasut. Tercabar jugalah aku sebagai guru disiplin ini. Aku dah tegur elok-elok, siap bagi petua dan pesanan lagi. Tapi jika berkali-kali tidak dihiraukan, siapa yang tak marah dan geram, ye tak?
"Aisyah! Datang sini!" lantang dan kuat sekali aku memanggil dia. Dari jauh dia nampak ketakutan disergah guru. Dia tahu dia bersalah, perlahan-lahan dia datang mendekati aku sambil matanya memandang ke lantai.
"Awak dah kenapa? Dari Jumaat lepas cikgu pesan suruh pakai kasut. Setiap hari awak pakai selipar dengan alasan kasut basah. Sebelum ini memang cuaca tidak menentu, semalam tak hujan pun. Kenapa pakai selipar?" tegas aku bertanya.
Sebelum ini sudah banyak kali aku berlembut. Namun kali ini aku perlu bertegas. Dia pula hanya merenung lantai, tak berani bertentang mata dengan si guru yang sedang marah.
"Kasut saya basah, cikgu," jawabnya perlahan.
Aku tidak dapat menerima alasan itu kerana hari Selasa tidak hujan. Lalu aku beri amaran terakhir, keras dan tegas!
Semalam, ada cikgu beritahu pada aku bahawa Cikgu Sariza mencari aku, ada hal katanya. Kebetulan ada masa lapang, akuberjumpa dengan Kak Sariza di kantin.
"Fadli, Aisyah itu murid kelas akak. Kasihan dia, duit belanja selalu tak bawa. Kasut dia pula rosak, langsung tak boleh nak tampal dah. Sebab itu dia tak pakai kasut ke sekolah. Mak dia muallaf," jelas Kak Sariza.
Tersentak aku mendengar penjelasan Kak Sariza. Rupanya dia malu nak beritahu kasut dia rosak. Dia malu hendak meluahkan segala kesusahan yang melanda diri dan keluarganya. Rasa bersalah membuak-buak datang menyerang sanubariku.
"Tak apa kak, saya memang nak lancar Projek Beg Sekolah, Uniform Sekolah dan Kasut Sekolah bulan ini, untuk kegunaan murid miskin, anak yatim dan mereka yang memerlukan pada sesi persekolahan tahun depan. Saya akan masukkan dia dalam senarai saya," balasku dan segera beredar keluar.
Aku cepat-cepat keluar kerana mahu mencari Aisyah. Setiap murid yang aku jumpa, aku kerahkan untuk mencari Aisyah. Kebetulan masa itu waktu rehat, memang payah nak jumpa.
Tidak lama kemudian, Aisyah dan adiknya datang. Mata mereka berdua tunduk memandang lantai. Cantik budak berdua ini, berkulit putih, bermata sepet. Maklumlah ibunya muallaf. Pakaian bersih dan rapi, baju nampak kemas bergosok walaupun bukan baju baharu tetapi nampak sangat terjaga sekali.
"Kenapa awak tak beritahu cikgu kasut awak rosak?" soalku.
Dia diam, tiada sepatah pun yang keluar dari mulutnya. Matanya masih memandang ke lantai kantin.
"Awak ada duit nak makan?" soalku.
Aisyah menggelengkan kepala, adiknya turut berbuat demikian. Aku keluarkan RM4 dari beg dan beri RM2 seorang.
"Nah, buat beli makanan. Pergi makan," ujarku.
Dia mengangkat kepala dan memandangku dengan mata berkaca.
"Terima kasih cikgu. Terima kasih."
Sebak aku rasa, sangat sebak. Aku memarahi dia atas nasib keluarganya yang diuji Tuhan di atas sana. Dan dia redha dimarahi tanpa membuka kisah sebenar. Walau sebak, aku tahan sekuat hati. Air mata aku telan, ramai mata menyaksikan aku bersoal jawab dengan Aisyah termasuk rakan guru. Namun sewaktu menulis kisah ini, mata aku bergenang.
Sewaktu Aisyah berpaling hendak pergi, aku berpesan kepadanya.
"Esok bawa kasut awak yang rosak itu bagi pada cikgu ya."
Dia mengangguk tanda faham dan berlalu pergi sebelum hilang di celahan ratusan murid yang riuh rendah membeli makanan di waktu rehat.
Hari ini, sebaik sampai ke sekolah, aku terus mencari Aisyah. Aku tarik dia ke belakang, jauh dari orang dan minta dia berikan kasut dia kepada aku. Inilah kasutnya. Aku ambil dan simpan dalam kereta. Aku nak beli kasut baharu untuk dia, tak perlu tunggu tahun depan dan tak perlu tunggu projek amal aku mula.
Hari persekolahan berbaki dua bulan saja lagi, aku tak sanggup membiarkan anak ini dari terus merasa rendah diri datang ke sekolah dengan memakai selipar. Aku tak nak dia berasa malu untuk menjawab soalan setiap guru yang bertanya kenapa dia berselipar setiap hari.
Dan setiap hari juga aku akan mencari Aisyah dan adiknya untuk diberi wang belanja. Lebihan kiriman sahabat dalam Projek Kain Kapan yang lalu, masih berbaki di tangan. Bolehlah aku gunakan untuk tujuan ini.
Sewaktu dia datang berjumpa aku tadi, aku perasan beg itu. Itu beg Swan yang aku agih dalam Projek Beg Sekolah tahun lepas. Masih kukuh dan elok. Aku memang beli yang berkualiti bila nak bersedekah atau hadiahkan apa-apa pada orang. Projek Beg Sekolah ini aku dan lakukan sudah tiga tahun. Cari dana, beli beg dan hadiahkan kepada murid miskin, anak yatim dan mereka yang memerlukan. Kawan-kawan dan followers lama aku memang sudah maklum dan tahu.
Sumber: Cikgu Mohd Fadli Salleh
from The Reporter http://ift.tt/2wHdzcS
via IFTTT