Bapa durjana dipenjara 81 tahun 8 sebatan


KOTA TINGGI, JOHOR - Seorang lelaki berusia 50 tahun hanya mampu tertunduk dan menggeleng-gelengkan kepalanya apabila Mahkamah Sesyen Kota Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 81 tahun dan lapan sebatan terhadapnya di atas lima tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii, sumbang mahram dan cabul kehormatan anak perempuannya sejak enam tahun lalu, lapor Harian Metro. 

Hakim Zahilah Mohammad Yusoff menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang bekerja sebagai kelindan lori itu membuat pengakuan bersalah bagi kelima-lima pertuduhan selepas ia dibacakan oleh jurubahasa mahkamah terhadapnya. 

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii iaitu dengan memasukkan zakarnya ke dalam mulut anaknya yang ketika itu berusia 11 tahun di sebuah rumah di Taman Sri Saujana pada jam 4 petang, Mei 2011. 

Pendakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan. 

Bagi dua pertuduhan yang lain, tertuduh yang baru saja bercerai pada 17 Oktober lalu didakwa melakukan persetubuhan dengan mangsa yang mana perhubungan itu tidak dibenarkan undang-undang atau hukum agama terpakai kepadanya untuk berkahwin dengan mangsa (sumbang mahram).

Tertuduh melakukan dua perbuatan itu terhadap mangsa pada jam 2 petang, Mac 2012 di rumah di Taman Stri Saujana dan pada jam 12 tengah malam, November 2014 di sebuah rumah di FELDA Air Tawar 3, Kota Tinggi. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan. 

Tertuduh juga didakwa dengan dua lagi pertuduhan iaitu menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang juga anak keduanya dengan maksud mencabul kehormatan remaja perempuan itu pada jam 5 petang, Oktober 2014 dan 12 tengah malam, Februari 2015 di FELDA Air Tawar 3, Kota Tinggi. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat, atau dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan. 

Sebelum hakim menjatuhkan hukuman, peguamnya, Salwa Sulaiman dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap tertuduh dengan alasan tertuduh adalah Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan baru bekerja selama dua minggu serta belum menerima sebarang gaji. 

"Tertuduh sudah tidak tinggal serumah dengan mangsa dan dia mempunyai enam anak berusia antara lima dan 18 tahun yang juga ada yang masih belajar," katanya. 

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad memohon hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira perbuatan sumbang mahram yang juga satu perkara serius. 

"Ini membabitkan isu keselamatan mangsa yang juga anak kandung tertuduh dan mohon mahkamah mengambil kira kesan kejadian ini yang menyebabkan mangsa trauma selain memusnahkan masa depannya," katanya.

Di mahkamah sama, bapa saudara mangsa turut dijatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan mangsa pada 12 tengah malam, Mei 2014 di FELDA Air Tawar 3, Kota Tinggi, Johor.

Pekerja kontrak itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Sumber: Harian Metro


from The Reporter http://ift.tt/2yHQ70N
via IFTTT