Kaki, tangan diikat, muka bayi ditutup dengan kain ketika sedang menyusu botol


MELAKA - Kerajaan negeri mengarahkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memantau sebuah pusat asuhan kanak-kanak (taska) di Paya Rumput, susulan terdapat aduan yang mendakwa wujudnya unsur penganiayaan terhadap bayi di bawah jagaan pusat berkenaan oleh bekas pengasuhnya, lapor Sinar Harian

Beberapa gambar serta video yang dirakam menggunakan telefon bimbit oleh salah seorang bekas pengasuh taska tersebut menunjukkan beberapa bayi diikat kaki dan tangan mereka dengan kain lampin sambil muka ditutup dengan kain dalam keadaan sedang menyusu botol. 

Video berdurasi satu minit 27 saat itu juga menunjukkan seorang pengasuh yang baru bangun dari tidur menengking bayi yang menangis dan memasukkan botol susu dengan kasar. Satu lagi video yang berdurasi 11 saat pula menunjukkan seorang pengasuh taska memandikan bayi yang ditiarapkan di atas lantai tandas dalam keadaan menangis. 




Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar berkata, hasil siasatan JKM mendapati dakwaan yang viral di media sosial itu adalah benar. Perkara itu dilakukan oleh bekas pengasuh yang berusia dalam lingkungan 60-an dan telah diberhentikan kerja dua minggu lalu. 

"Pengusaha taska sudah memberi penjelasan dan pihaknya telah memberhentikan wanita terbabit selepas berkhidmat di situ selama tujuh tahun. 

"Difahamkan keadaan itu berlaku sejak beberapa bulan yang lalu, mungkin perasaannya terganggu disebabkan wanita berkenaan masih bujang," katanya. 


Menurut beiau, pihak JKM sebelum ini ada menerima aduan daripada ibu bapa mengenai perkara tersebut dan beberapa siri lawatan telah dilakukan. Bagaimanapun tiada bukti yang sahih untuk mengaitkannya sehinggalah gambar dan video dirakam salah seorang bekas kakitangan taska tersebut. 

"Pengusaha taska juga telah diberikan amaran serta nasihat. Sekiranya gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan, mereka boleh dikenakan tindakan," katanya. 

Justeru, beliau meminta JKM kerap melakukan lawatan secara berkala bagi memastikan taska tersebut sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan. 


from The Reporter http://ift.tt/2zCeAUy
via IFTTT