Lelaki tembak suami kekasih kerana terpengaruh dengan novel kisah cinta 3 segi


KUALA ROMPIN, PAHANG - Seorang lelaki berdepan dengan hukuman gantung sampai mati kerana menembak mati suami kepada kekasihnya dan mengakui berbuat demikian kerana terpengaruh dan terlalu menghayati sebuah novel kisah cinta tiga segi di mana watak yang ditirunya itu sanggup melakukan apa sahaja demi kekasihnya, lapor Sinar Harian. 

Bagaimanapun suspek, 28, ditahan di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Tanjung Malim, Perak pada 27 Oktober lalu sekitar jam 1 pagi yang dipercayai dalam perjalanan cuba melarikan diri ke kampungnya di Bedong, Kedah dengan menaiki motosikal. Malah, polis turut merampas buku novel tersebut daripadanya. 

Dalam kejadian pada jam 12 tengah malam 24 Oktober lalu di Felda Keratong 2, Muadzam Shah, suspek yang baru menjalinkan hubungan dengan kekasihnya lebih kurang lima bulan bertindak menembak suami kekasihnya, 32, yang berasal dari Acheh dengan satu das tembakan di kepala dalam jarak lima mter menggunakan senapang buatan sendiri. 


Difahamkan, tindakan suspek itu adalah disebabkan mengetahui mangsa yang dikenali sebagai Zubir dalam proses memujuk isterinya yang berasal dari Lombok, Indonesia untuk membawanya pulang ke Acheh.

Mangsa sempat dihantar dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 12 tengah hari 25 Oktober. 

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor berkata, hasil siasatan terhadap isteri mangsa yang ditahan dengan penduduk setempat pada hari yang sama juga mendedahkan nama beberapa suspek yang terlibat. 

Pasangan berkenaan juga difahamkan dalam proses perceraian dan sudah dua bulan tidak tinggal bersama. 

"Hasil kerjasama dengan pasukan D9 dari Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Kuantan, suspek akhirnya berjaya ditahan pada 1 pagi 27 Oktober lalu dan tidak sempat melarikan diri ke Kedah.


"Siasatan ke atas suspek, dia mengaku melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa, senapang patah buatan sendiri turut dirampas di Ladang Sungai Guan, Kota Bahagia, Muadzam Shah selepas dipandu arah oleh suspek," katanya.

Turut dirampas bersama, tiga butir peluru dan satu kelongsong peluru yang telah digunakan serta satu alat pemutar skrew yang digunakan untuk membuka pasang senjata api. 

Selain suspek dan isteri mangsa, dua lagi individu berusia 48 dan 32 tahun juga turut ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung jika sabit kesalahan.


from The Reporter http://ift.tt/2lvWsd5
via IFTTT