Tanpa sedar, ibu bapa telah memalukan anak-anak sendiri


AIB SEORANG ANAK

Semalam saya mengambil #kakakcomey di sekolah. Masa itu baru 11.30 pagi. Jadi, beberapa orang guru tunggu di pintu keluar sekolah untuk guide dan memanggil murid ini turun mengikut penjaga yang datang.

Di pre school ini, sebelum sampai pintu keluar masuk itu ada tangga utama untuk naik ke kelas atau turun dari kelas (corner rumah kedai). Jadi ada seorang budak itu sedang menuruni tangga sebab mak dia dah sampai di pintu itu. Budak perempuan, biasalah perlahan sikit bila turun tangga. Umur pun baru lima atau enam tahun.

Tiba-tiba mak budak itu boleh pula meninggikan suara. "Cepatlah! Slow betul! Ishhhh!" mengeluh si mak itu tadi. 

Terkejut saya dan guru-guru yang berada di situ. Anaknya pun tertunduk dan cepat-cepat pakai selipar takut mak dia dah marah. Masa nak gerak itu, saya nampak mak budak itu berkerut-kerut lagi masih dalam kemarahan dan budak itu hanya diam membisu.


Saya amat kasihankan budak itu. Ye betul, kita tidak tahu situasi mereka pada masa itu. Mungkin betul-betul kena cepat atau dah terlambat untuk pergi ke mana-mana. Tetapi sikap si ibu meninggikan suara pada anak di hadapan orang ramai itu membuatkan saya rasa sedih. Saya sedihkan budak itu. Dia baru saja habis sekolah, tempat dia belajar dan bergembira. Tetapi dia disambut dengan kemarahan dan suasana yang tegang.

Satu lagi perkara yang kita sering lupa iaitu menjaga aib anak kita. Budak-budak ini walaupun baru berusia 4, 5, 6 tahun, mereka sudah tahu malu. Bila dimarahi di hadapan kawan-kawan, cikgu dan orang lain, mereka akan rasa malu juga. 

Sudahnya, anak kecil yang berkobar-kobar, mempunyai seribu harapan dan kegembiraan tatkala habis sekolah ini akan menundukkan kepala tanda malu dan tak mustahil ia akan memberi kesan dalam jangka masa yang panjang.


Pernah tengok anak kecil kita kurang berkeyakinan? Cuba periksa semula cara kita menjaga aib mereka. Amarah seorang ibu atau bapa memang sukar dikawal disebabkan perangai kanak-kanak mereka, tetapi kadang-kala kita tanpa sedar yang diri kita telah memalukan anak-anak ini.

Saya percaya, semuanya bermula dari rumah. Sekolah dan cikgu boleh buat segala-galanya untuk mengajar dan memberi ilmu kepada anak kita. Tetapi jika rumah mereka sendiri suram, muram dan dipenuhi dengan ketegangan, percayalah yang ia akan memberi tekanan kepada mereka. Jika manusia dewasa pun susah untuk menghadapi tekanan, inikan pula anak -anak kecil?

Anak-anak kecil bila tertekan, mereka akan memberontak dan melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Di sini lahirnya generasi yang bermasalah. Kita boleh nampak keadaan sekarang di mana ada budak-budak bawah umur sudah pandai menghisap dadah, bergaduh, melepak sana sini dan melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Hampir kesemua masalah itu berpunca dari rumah.

Hormatilah anak anda, jagalah aib mereka. Sediakan persekitaran gembira buat mereka di rumah. InshaAllah mereka akan membesar dengan baik. Jika post ini berguna, kongsilah dengan pasangan anda dan kawan-kawan. Semoga dapat memberi manfaat kepada kita semua.



from The Reporter http://ift.tt/2zgIsK2
via IFTTT