Wanita Arab maut, kereta rempuh tembok ketika sedang belajar memandu


ARAB SAUDI - Seorang wanita maut dalam kemalangan ketika sedang belajar memandu, kurang dari seminggu selepas Kerajaan Arab Saudi mengumumkan larangan terhadap wanita untuk memandu akan dimansuhkan, lapor Daily Mail.

Dalam kejadian yang berlaku di Jeddah, berhampiran Laut Merah, mangsa sebelum itu sedang berlatih untuk memandu buat pertama kali, bersama dengan suaminya selaku pembimbing. 

Menurut suami mangsa, sebelum kejadian itu dia sedang mengajar isterinya memandu di kawasan kejiranan di tempat tinggal mereka. Malangnya, secara tiba-tiba wanita itu menekan padel minyak dan meluncur laju ke hadapan lalu melanggar tembok konkrit. 

Mangsa dilaporkan maut serta merta dalam kemalangan itu, manakala suaminya mengalami kecederaan lalu dibawa terus ke hospital untuk mendapatkan rawatan. 

Kejadian itu menimbulkan kebimbangan beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan pemansuhan larangan memandu terhadap wanita yang dilihat akan menimbulkan lebih banyak masalah. 

Selasa lalu, Raja Arab Saudi, Raja Salman mengumumkan akan membenarkan golongan wanita memandu bermula Jun 2018. Difahamkan, larangan itu telah dikuatkuasakan selama 60 tahun dan menyebabkan ada segelintir wanita di negara itu memandu secara haram tanpa kebenaran pihak berkuasa. 

Walaupun golongan wanita Arab akan dibenarkan memandu mulai pertengahan tahun hadapan, namun mereka masih tidak dibenarkan untuk membuka akaun bank, bekerja tanpa kebenaran dari saudara lelaki atau suami, tidak boleh berinteraksi dengan mana-mana lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan mereka tanpa kebenaran penjaga lelaki dan sebagainya. 

Kerajaan Arab Saudi juga difahamkan sedang merancang untuk mengambil khidmat guru memandu wanita dari luar negara dan akan membuka sekolah memandu khas bagi golongan wanita. 


from The Reporter http://ift.tt/2yahz96
via IFTTT