Tujuh individu ditahan susulan insiden pergaduhan di sebuah restroan di Jalan wong King Huo, yang dilaporkan berpunca dari tindakan salah seorang suspek merakam gambar seorang wanita menggunakan telefon bimbitnya tanpa kebenaran, lapor Berita Harian.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zailanni Amit berkata, siasatan mendapati, wanita berusia 30 tahun itu mendakwa menyedari perbuatan lelaki terbabit lalu bertindak bersemuka dengannya sebelum dan cuba merampas telefon bimbit itu.
"Dia kemudian merampas telefon bimbit lelaki itu sebelum menamparnya. Berang dengan tamparan itu, lelaki terbabit spontan menyiku wanita berkenaan sebelum beberapa rakan mereka masuk campur dan tercetus pergaduhan di antara kedua-dua kumpulan," katanya.
Kedua-dua pihak turut menggunakan beberapa senjata termasuk batang kayu dan pedang samurai mengugut sesama sendiri. Tetapi tiada sebarang kecederaan yang serius dilaporkan berlaku dalam kejadian itu.
"Selepas rakaman video kejadian viral di media sosial, kita berjaya mengenal pasti kesemua suspek sebelum penahanan dibuat sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.
"Tiga suspek berjaya ditahan di Jalan Keranji, manakala empat lagi dicekup di Jalan Kampung Nyabor. Seorang lagi suspek masih diburu, namun identitinya telah dikenal pasti. Kita meminta suspek menyerah diri untuk membantu siasatan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
from The Reporter http://ift.tt/2BiGRkL
via IFTTT