Seorang ibu, Heather Fricke, baru-baru ini mengalami pengalaman yang tak diduga apabila suaminya mendapati dua jari kaki anak mereka, Jacob, berusia 10 minggu, kebiruan.
Sebelum menyedari kejadian itu, Heather menjalani rutin hariannya bersama Jacob seperti biasa. Selepas menukar lampin anaknya, dia menidurkan si kecil itu selama dua jam, kemudian menyusukannya dan sekali lagi menukar lampinnya.
Selepas itu, Heather menyerahkan Jacob kepada suaminya yang kemudian mendapati ada sesuatu yang tidak kena, sebelum Heather memuat naik kejadian itu di media sosial untuk memberi peringatan kepada ibu bapa di luar sana.
"Kepada semua ibu bapa tak kira yang baru menjadi ibu bapa atau ada anak-anak yang lain, tolong baca dan kongsikan perkara ini agar kita dapat memberi peringatan kepada semua," tulisnya di Facebook.
"Saya serahkan Jacob kepada Tommy untuk dipasangkan sarung kaki padanya dan Tommy menyedari dua jari kakinya kebiruan dan diikat sehelai rambut!
"Saya segera tanggalkan ikatan rambut itu dan bawa Jacob ke hospital di mana kami menghabiskan lebih kurang sejam di situ. Seramai lima orang doktor cuba meleraikan ikatan rambut saya pada dua jari kaki Jacob.
"Doktor kata kalau saya tak bertindakn segera, dua jari kaki Jacob mungkin terpaksa dipotong," katanya.
Mujur Jacob dapat diselamatkan dan dia kini semakin pulih, walaupun Heather berkata anaknya itu masih berada dalam kesakitan.
Justeru, Heather mengingatkan orang ramai agar sentiasa memeriksa jari jemari bayi mereka. Ini termasuk memeriksa bahagian kemaluan anak lelaki bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.
from The Reporter http://ift.tt/2CfntIR
via IFTTT