Wanita ini dan rakannya tidak menyangka, sepanjang dua bulan menjalani praktikal di tempat pilihan mereka di Cameron Highlands rupa-rupanya memberi pengalaman yang agak menyeramkan. Kehadiran mereka di tempat itu, tiada siapa yang memberitahu segala perihal mengenai tempat tinggal mereka. Sehingga berlaku satu kejadian yang tidak diingini.
INI PENGALAMAN seram aku semasa menjalani latihan industri selama dua bulan di Cameron Highlands. Siapa sangka, tempat pelancongan yang cantik begini boleh menjadi seram begitu. Aku sendiri pun tak sangka.
Masa itu, tahun 2011, kitorang last semester kena buat latihan industri. Masing-masing cuba apply tempat yang sesuai. Aku tertarik dengan Cameron Highlands yang sejuk dan tempatnya cantik pula. Dah hantar surat untuk kebenaran buat praktikal, akhirnya aku memang ditakdirkan ke Cameron Highlands. Alhamdulillah, geng dengan seorang kawan baik. Tak adalah sunyi kalau berteman.
Dengna bantuan kakak dan abang ipar yang baru berkahwin, diorang hantar kami ke Cameron sambil mengambil peluang untuk honeymoon. Sampai saja di tempat praktikal, pak guard bawa kami ke tempat tinggal kami sepanjang berada di situ. Punyalah seronok dapat tinggal di apartment tiga bilik, sedangkan hanya kami berdua saja yang menghuninya.
Yang tak seronoknya, apartment itu kotor dan kami ramai-ramai berpakat membersihkan satu apartment itu. Selepas bersihkan rumah itu, kami santai di luar beranda sambil minum petang. Masa itu aku perasa, ada seorang makcik dari blok apartment bersebelahan menenung tajam ke arah kami. Rasanya kami tak ada buat bising, jadi aku abaikan saja.
Malam itu, kakak dan abang ipar tidur di bilik utama, sementara itu aku dan Ana tidur di satu bilik dan satu bilik lagi dibiarkan kosong.
Keesokan harinya, selepas tour Cameron Highlands, kakak dan abang ipar aku pulang ke Kuala Lumpur. Maka bermulalah episod seram aku dan Ana.
Sepanjang hampir seminggu berada di situ, kami sangat gembira kerana semua kakitangannya sangat ramah dan melayan kami dengan baik. Tetapi makcik-makcik selalu juga bertanya okey ke tak duduk di rumah itu, selain berpesan jangan tinggalkan bilik kosong yang tak digunakan.
Jadinya, pagi itu Ana bukalah pintu bilik yang kami tinggalkan tak berusik selepas dibersihkan dan kami ingatkan nak gunakan bilik itu untuk simpan barang. Aku okey saja.
Petang balik dari kerja, seperti biasa kami sampai jam 5.30 petang di depan pintu. Yang peliknya aku dah masuk dan pusing kunci di tombol tetapi pintu tak dapat dibuka.
"Eh? Apesal pulak ni?!"
Aku suruh Ana pula cuba buka pintu memandangkan tangan aku tak boleh buka, manalah tahu tangan dia ajaib pula. Namun hasilnya tetap sama. Hampir setengah jam kami berusaha membuka pintu, aku pula dah cuak dan rasa macam ada sesuatu yang tidak kena.
Tiba-tiba Ana menyeru nama aku. Bila aku toleh dia, dia toleh aku dan seolah-olah memberi isyarat dan kami terus memecut lari turun tangga. Masing-masing rasa tak sedap hati! Dah buntu fikir macam mana nak masuk ke rumah itu. Akhirnya kami buat keputusan untuk menghubungi pakcik yang menguruskan penginapan kami di situ.
Lebih kurang 10-15 minit kemudian, pakcik itu sampai dengan tukul. Anak ajak naik sama, tetapi aku tak nak. Jadi kami hanya menunggu di bawah. Kami dengar pakcik itu macam memekik dan sesekali terdengar juga bunyi tukul.
Tidak lama selepas itu, pakcik itu turun dengan muka berpeluh-peluh. Aku makin tak sedap hati. Pakcik itu cuma cakap pintu dah boleh buka dan ada masalah sikit. Aku dan Ana hanya mengangguk tanpa banyak soal.
Selepas pakcik itu beredar, aku masih ragu-ragu nak naik. Tetapi Ana tetap mengheret aku naik. Dengan hati yang berdebar-debar dan ayat kursi tak berhenti di mulut, kami meluru masuk dan cepat-cepat buka laptop buka bunyi orang mengaji. Barulah rasa tenang sikit. Petang itu juga, aku dan Ana pagar rumah kami itu.
Kami cuba korek cerita dari makcik-makcik di situ. Tetapi tiada seorang pun yang mahu membuka mulut dan mengelak dari bercerita mengenainya. Jadi aku dan Ana biarkan saja, tetapi masih berhati-hati supaya perkara itu tidak berlaku lagi.
Tidak lama selepas itu, datang budak-budak baru buat praktikal di situ juga. Sebahagian dari mereka tinggal serumah dengan kami dan sebahagian lagi ditempatkan di atas bukit. Budak-budak baru ini muda sikit, jadi kamilah ketua rumah dan kakak-kakak yang membimbing mereka. Bila ramai penghuni, susahlah nak kawal kan. Aku dan Ana pula tak cerita apa-apa sebab tak nak menakutkan mereka. Tetapi akhirnya kejadian pintu rumah tak boleh dibuka berulang kembali!
Petang itu, aku dan Ana balik lambat sikit. Sampai saja di rumah, hairan kenapa budak-budak masih belum masuk. Bila mereka kata tak boleh buka pintu, aku dan Ana saling tukar isyarat. Seperti sebelum ini, kami menghubungi pakcik itu untuk datang membantu dan sekali lagi dia berjaya membuka pintu itu.
Tetapi kali ini muka pakcik itu pucat. Aku tahu ada sesuatu yang tidak kena. Malamnya, isteri pakcik itu datang dan suruh Ana turun. Dia tak nak masuk ke rumah kami. Ana naik dan ceritakan semula kepada aku yang pakcik itu sebenarnya bergaduh dengan 'benda' itu untuk membuka pintu rumah kami dan bangunan yang kami tinggal itu sebenarnya jarang ada penghuni. Dia pesan agar kami berkelakuan baik dan berhati-hati.
Wing sebelah apartment kami dijadikan tempat penginapan pelancong, dan wing yang kami duduk ini sememangnya dah lama tak dihuni orang kecuali tingkat dua yang kadang-kadang ada sekumpulan lelaki menginap untuk buat kerja-kerja penyelenggaraan.
Dengarnya tapak apartment yang kami duduk ini dengan apartment di sebelah asalnya tempat sembahyang orang Hindu. Makanya aku dan Ana memutuskan untuk menceritakan hal sebenar kepada budak-budak yang lain agar tidak berada di beranda pada waktu maghrib dan kurangkan kebisingan. Budak-budak itu pula mula ketakutan, jadi kami semua mengambil keputusan untuk tidur dalam satu bilik. Bilik lain-lain digunakan untuk meletak barang-barang dan masuk tukar pakaian sahaja.
Kononnya kami diusik kerana 'benda' itu datang melawat disebabkan keriuhan yang dicetuskan oleh kami. Patutlah tidur malam aku rasa seperti ditenung 'sesuatu'. Patulah juga makcik blok sebelah merenung tajam pada kami pada awal kedatangan kami dulu, rupanya ada kisah di sebaliknya.
Aku ingatkan gangguan itu sudah berakhir, tetapi pantang kami buat silap sikit, 'dia' datang kembali.
Satu pagi itu, ada budak mengadu semalam dia terdengar bunyi orang bermain guli. Pagi itu juga aku rasa seperti ada kelibat hitam yang lalu di belakang sewaktu aku jengah nak mengambil barang di dalam bilik. Ana jumpa aku personally dan minta maaf.
Al kisahnya, kelmarin kami lepak di ladang dan aku tengok Ana dok main batu seremban. Aku tegur jangan kutip batu itu, letak balik. Ana kata okey tetapi entah kenapa dia terlupa dan masukkan batu itu dalam beg. Itu yang menjadi punca gangguan itu kembali.
Aku tak boleh nak marah sebab dia kawan aku. Jadi, ramai-ramai kami pergi pulangkan balik batu itu. Dah okey!
Tidak lama selepas itu, mak dan ayah dengan abang datang melawat aku sambil berjalan-jalan di Cameron Highlands. Abang bagi satu ayat Quran, suruh tampal di pintu untuk meredakan ketakutan aku dan pagar rumah kami. Tetapi aku pula silap, over excited dapat jumpa dengan mak dan ayah. Mereka bertiga menginap di wing sebelah rumah kami.
Selepas makan beramai-ramai, aku bermalam bersama keluarga aku. Malam itu aku tidur lewat sikit. Abang tidur seorang, ayah tidur dengan anak buah aku. Jadi aku masuklah ke dalam bilik nak tidur dengan mak. Sekali bila aku panjat katil, kena cerlung mata bulat kat mak aku! Terkejut,lemah kaki tangan rasa. Perlahan-lahan aku mengundur turun dari katil dan pergi ke bilik ayah dan kejutkan ayah sebelum menceritakan apa yang berlaku.
Ayah pun pergi jenguk mak, pastu cakap tak ada apa-apa.
"Pergi tidur dengan mak," katanya.
Walaupun berat hati, aku kentalkan semangat menarik selimut dan baring di tepi mak. Overexcited sangat, kan dah kena! Selepas itu, Alhamdulillah tiada lagi gangguan tetapi kami masih berhati-hati jugalah kan.
Ada adik-adik di situ yang mula kamcing dengan kami, cerita macam-macam kejadian sebenarnya. Tetapi sebab diorang dah biasa, tak adalah hairan sangat. Siap ada seorang adik itu memang mata dia boleh nampak makhluk halus. Hahaha! Aku pula yang naik seram.
Selepas itu, ada dengar budak-budak praktikal yang tinggal di atas bukit pun kena ganggu juga. Bau kemenyan di waktu pagi dan macam-macam lagi. Ingatkan kami saja yang mengalami pengalaman itu sepanjang berada di situ.
Masuk bulan Ramadhan, kami rasa lega sangat. Kan syaitan kena ikat, tetapi tak huha sangat dah pun. Bulan puasa lagi kena jaga perangai kan. Aku dan Ana dah nak habis praktikal, budak junior ada seminggu lagi. Berat hati nak tinggalkan diorang. Risau pun ada. Tetapi fikir bulan puasa, inshaAllah tak ada apa-apa.
Itulah pengalaman seram aku sepanjang berada di sana. Tak adalah seram sangat tetapi dah selalu aku yang terkena, ternampak, terasa, menangis juga dibuatnya. Bila husband ajak bercuti ke Cameorn, aku teragak-agak. Tetapi bilik fikir dengan waras, pergi ke mana-mana pun makhluk ini ada. Dah ciptaan Tuhan juga. Cuma kita bila dah masuk ke tempat orang, jagalah adab, jangan kacau dia baru dia tak kacau kita.
Akhirnya aku tetap kembali ke Cameron Highlands, cuma masih mengelak daripada menginap di sana. Tak nak ambil risiko.
Sumber: Siti, IIUM Confessions
from The Reporter http://ift.tt/2l6tuxI
via IFTTT