Allahu, perasaan geram dan sedih melanda diri bila membaca luahan hati anak bongsu tiga beradik ini yang berkongsi kisah dia dan keluarganya dilayan seperti nak tak nak oleh saudara mara sebelah arwah bapanya. Keadaan bertambah menjadi lebih buruk apabila ibunya pula meninggal dunia akibat jangkitan kuman.
Di kala tanah kubur masih merah, si anak sudah dihubungi oleh saudara mara sebelah arwah ayahnya yang mahu menuntut rumah pusaka yang didiami mereka sejak dari kecil lagi. Tergamak benar melakukan perkara seperti ini seolah-olah mereka tiada perasaan bersimpati dan sensitif.
PAGI tadi tiba-tiba salah seorang makcik sebelah arwah ayah saya hantar mesej di WhatsApp. Dia bagi salam, jadi saya jawab salam dan saya dah agak sebenarnya sebab apa.
Makcik saya ini tidak pernah pun bertanya tentang khabar saya. Keluarga saya ini seperti terpinggir sikit dari pakcik makcik yang lain. Arwah ayah saya kerja biasa-biasa saja.
Tujuan makcik saya itu WhatsApp sebab nak pinjam duit. Jadi betullah apa yang saya sangkakan! Ya, saya tak bagi pinjam. Sebab? Saya memang berdendam dengan pakcik dan makcik sebelah arwah saya ini sejak dari kecil lagi. Lagipun saya bukannya anak buah kegemaran mereka. Bagi mereka, saya tak wujud pun tak apa.
Kenapa saya berdendam? Dulu-dulu kalau keluarga sebelah arwah ayah saya berkumpul, mereka layan saya macam nak tak nak saja. Tetapi kalau anak buah dari keluarga yang kaya bukan main lagi. Siap simpan makanan semua bagai. Kalau saya pergi, saya akan duduk dekat dengan mak saya sebab tak dilayan orang lain.
Sebab kedua? Mana ada mereka nak datang beraya di rumah kami. Kalau datang pun sekejap saja. Iyelah, rumah kayu biasa saja kan. Tetapi jujur saya cakap, saya bahagia dengan keluarga kecil saya, mak, ayah, kaklong dan abang Lie.
Sebab ketiga? Ini yang membuatkan saya benar-benar berdendam. Selepas kematian ayah saya pada Mei 2007, saya ditawarkan untuk sambung belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM). Masa itu saya seronoklah sebab dapat sambung belajar. Tetapi yang sedihnya ayah saya tak dapat tengok. Ayah meninggal tiba-tiba.
Saya kena daftar di UPM pada Julai dan semua perkara saya uruskan sendiri. Yelah, mak saya mana boleh keluar rumah sebab masih jaga tempoh eddah selepas kematian suami.
Masa bulan Jun, mak saya call pakcik makcik saya sebab nak minta hantarkan saya ke UPM. Saya duduk di Terengganu. Tahu apa jawapan mereka?
"Tak boleh tolong sebab ada hal!"
Oh lupa, adik beradik arwah ayah saya ada tujuh orang. Semua tak boleh tolong! Selepas letak phone itu, saya ingat lagi yang mak saya menangis.
"Dik, tak payah sambunglah. Tak ada orang nak hantar," kata mak.
Sumpah saya menangis semasa menulis ini. Tetapi saya nekad nak sambung belajar. Keesokannya saya naik motosikal, beli tiket bas ke Kuala Lumpur. Saya nekad pergi seorang diri dan register sendiri sebab itu memang cita-cita saya.
Dah dapat tiket bas, mak saya contact abang saya di Kuala Lumpur. Abang saya jual burger masa itu dengan kawan dia di Klang Lama. Tetapi abang saya tak ada kereta nak hantar saya ke UPM. Tetapi kawan abang saya setuju nak membantu.
Bila tiba hari nak naik bas itu, jiran saya hantar ke tempat perhentian bas. Sedihnya, sumpah sedih. Sepanjang berada dalam bas itu memang saya menangis! Satu sebab tak pernah ke Kuala Lumpur, satu sedih sebab tinggalkan mak saya di kampung.
Dipendekkan cerita, saya sampai di Kuala Lumpur, kawan abang saya datang ambil di Hentian Putra. Malam itu saya menumpang tidur di rumah kawan abang. Keesokannya tunang kawan abang saya datang ambil saya dan bawa pergi beli barang seperti baldi, sabun basuh semua bagai sebab saya cuma bawa pakaian saja.
Bila dah selesai semua register itu, tiada seorang pun pakcik makcik yang call tanya khabar saya. Sampai saya habis belajar. Tiga tahun saya belajar, keluarga saya tak pernah datang UPM. Mak saya pernah ajak pakcik makcik itu datang menjenguk saya tetapi biasalah mereka beri alasan yang sama, sibuk!
2010, keluarga saya kemalangan. Dua bulan saya jaga mak tukar empat hospital dan lain-lain negeri. Ya, saya tak kerja pada masa itu. Tetapi sebab saya ejen insurans, jadi tak ada masalah. Ada income sikit.
Disember 2015, mak saya meninggal dunia di hospital selepas seminggu operation akibat jangkitan kuman.
Tiga hari selepas mak meninggal, adik arwah ayah saya datang nak menuntut rumah pusaka arwah mak ayah saya! Kau tak ada dalam kesusahan kitorang, tiba-tiba tanya harta!
"Tak apa, saya akan uruskan hal ini dengan pejabat agama dan pejabat tanah," kata saya pada pakcik.
Keesokannya saya dan kaklong pergi ke Pejabat Tanah sebab nak tanya hak kami tentang harta pusaka itu. Pegawai itu kata, pakcik dan makcik saya itu tiada hak dalam rumah pusaka itu sebab pemilikan rumah itu di atas nama rawah mak saya dan kakak saya. Diorang kan adik beradik sebelah arwah ayah saya.
Oh lupa. Semasa mak saya di hospital, pakcik makcik sebelah ayah saya masukkan saya dalam WhatsApp group sebab mereka nak tahu sangat status rumah pusaka itu. Saya terus saja WhatsApp dalam group itu supaya mereka tahu akan fakta sebenar!
Memang masa itu saya kurang ajar sebab saya ungkit semua perkara yang saya tulis di atas tadi. Saya siap buat karangan! Point by point supaya mereka terasa! Selepas itu saya keluar dari group WhatsApp itu. Selepas saya keluar, terus pakcik makcik call saya minta maaf dan ajak berjumpa.
Keesokannya saya pergi menghadap pakcik makcik saya. Saya tak takut sebab saya betul dan saya sudah menyimpan perasaan dendam ini sejak dari kecil lagi. Jadi mereka meminta maaf bagai sambil memeluk dan menangis. Saya relaks saja sebab hati saya memang dah keras. Memang saya berdendam!
Sumpah saya rasa tersentap dengan apa yang mereka buat pada saya dan keluarga. Tetapi serius saya memang tak ada rasa kasih sayang dah pada mereka semua. Kenapa cari saya? Mana pergi anak buah kegemaran mereka? Sebab nampak saya dah senang? Sumpah saya maki dalam hati tadi.
Itu sajalah cerita saya. 30 tahun saya menahan kesabaran. Kisah hidup saya dah seperti drama Melayu. Saya cuma sayang pada keluarga kecil saya dan makcik sebelah arwah mak saya. Wajah makcik saya seiras dengan arwah mak saya. Dia sajalah yang paling rapat dengan saya. Tetapi sekarang, makcik saya pun dah tua dan tak sihat.
Kalau korang dah habis baca, tolong sedekahkan Al-Fatihah buat arwah mak saya Robiah bt Sulong dan arwah ayah Abu Bakar bin Embong. Terima kasih semua.
Ini rumah pusaka arwah mak dan arwah ayah tinggalkan untuk kami adik beradik. Gambar itu dirakam pada malam raya 2015 sebelum mak meninggal dunia pada Disember 2015. Pelita itu mak saya simpan sejak 2006. Arwah ayah yang belikan sebelum meninggal dunia pada Mei 2007. Masa itu mak paksa suruh pasang dan ambil gambar.
Sumber: Saiful
from The Reporter http://ift.tt/2DOOO2O
via IFTTT