Mohd Imran berkata, dia dan beberapa rakan pada awal hanya berniat mahu menakutkan budak-budak yang pulang dari mengaji, namun sebaliknya mereka ditahan polis yang meronda di Bukit Pinang, Alor Setar dan didenda melompat seperti hantu pocong.
"Idea itu datang dari rakan saya, Muhammad Eyzani Johari (18), sebelum saya dibalut dengan selimut bersama dua lagi rakan yang lain, Muhammad Ramadhan Fitri Shuib (15), dan Nabil Asyraf Hussain (14).
"Saya dibalut dengan selimut dan diikat seperti hantu pocong di tempat lepak kami di stor simpanan getah skrap di Kampung Padang Kunyit, Bukit Pinang. Selesai dibalut, kami terus menaiki dua motosikal di mana Eyzani yang menunggang motosikal, sementara saya membonceng.
"Kami kemudian terus meronda kampung dengan niat mahu menakutkan budak-budak yang pulang dari mengaji," katanya.
Selepas itu, Mohd Imran dan rakan-rakannya keluar ke jalan besar untuk mengusik rakan-rakan yang sedang melepak di Taman Pinang Jaya, tetapi hasrat mereka terpaksa dilupakan apabila mereka ditahan anggota polis yang sedang meronda dengan motosikal.
"Saya kemudian dibawa ke pekan Bukit Pinang sebelum didenda kira-kira 15 minit melompat seperti hantu pocong. Perasaan ketika itu sangat malu, tambahan kami langsung tidak sempat mengusik sesiapa sepanjang menyamar itu," katanya.
Menurut Mohd Imran, kejadian itu adalah pertama kali dilakukannya dan selepas didenda, mereka berempat dibawa ke Balai Polis Kepala Batas sebelum dibebaskan jam 1 pagi, setelah dinasihatkan pihak polis.
"Polis menasihatkan kami agar tidak mengulangi perbuatan ini kerana ia membahayakan nyawa orang lain jika ada yang mengalami masalah sakit jantung. Saya minta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini kerana sudah serik selepas ditahan polis," katanya.
from The Reporter http://ift.tt/2G3F4Cz
via IFTTT