'Saya dituduh ada tunggakan GST RM16K dan terlibat kes syabu 16kg' - Nyaris jadi mangsa scammer menyamar jadi Pegawai Kastam dan Polis


Bismillahirrahmannirrahim dan Assalamualaikum wbt.

Ini cerita pagi ini, saya nak berkongsi dengan semua ahli keluarga, saudara mara dan sahabat-sahabat di Facebook.

Saya menerima panggilan daripada 04-7742022, sebuah panggilan dari pihak Kastam di Kedah. Pegawai tersebut bernama Mohd Riduan bin Samsul WK04. No rujukan kes UKKK786/12/2017. Saya dimaklumkan bahawa notis amaran terakhir telah dikeluarkan pada hari ini berkenaan GST sebanyak RM16,000.00 yang masih tertunggak akibat daripada rampasan telefon bimbit Samsung sebanyak 103 unit yang dirampas pada 27.4.2017 di Kastam checkpoint Bukit Kayu Hitam.

Pihak Kastam telah membacakan nama penuh dan nombor kad pengenalan pelaku dan ia sama dengan nama penuh dan kad pengenalan saya. Saya menafikan sekeras-kerasnya dan mereka melanjutkan perkara ini ke pihak IPK Kedah.

Talian itu disambungkan terus ke IPK Kedah dan saya ditemubual oleh Sarjan Hamizi bin Ismail. Saya ada juga meminta nombor badan Sarjan tersebut tetapi katanya ianya adalah rahsia. 

Selepas disoal siasat dan saya masih menafikan dan mereka meminta saya hadir ke IPK Kedah. Akibat jarak balai terlalu jauh kerana saya di Selangor, mereka memberi option kepada saya untuk membela diri dengan membuat laporan secara dalam talian dan dirakam. Saya bersetuju dan dalam masa yang sama saya ada terfikir untuk rekod dari handphone saya tetapi saya tidak melakukan mungkin kerana perasaan yang gelisah ketika itu.

Sarjan berkenaan kemudian memulakan rakaman dan meminta supaya tiada orang ketiga ketika rakaman dilakukan. Beberapa soalan diajukan kepada saya dan setelah itu sarjan tersebut menyerahkan kes kepada sarjan Mohd Taufiq untuk tindakan selanjutnya. 

Kemudian Sarjan Taufiq meminta saya menunggu di talian kerana mahu membuat semakan di bahagian IT untuk menyemak jika saya pernah terbabit dalam mana-mana kes jenayah. Saya mendengar perbualan sarjan tersebut melalui walkie talkie (keadaan sangat real ketika itu dengan cara dan perbualan mereka) dan pihak IT tersebut menyatakan bahawa nama saya tersenarai dalam kes syabu seberat 16kg dan waran tangkap sudah pun dikeluarkan untuk menangkap saya. Ketika itu luluh rasa jantung dan bermacam-macam bermain dalam fikiran walaupun saya tahu saya tidak melakukan jenayah ini.

Sarjan Taufiq meninggikan suaranya kepada saya untuk saya mengaku kerana di dalam kertas siasatan saya ada wanita yg telah menjual account CIMB saya kepada Pengurus CIMB Kedah yang bernama Roslan bin Johari yang telah ditahan lima hari lalu dan saya diberi ganjaran sebanyak RM200,000 yang telah pun dibank in ke akaun saya. 

Saya menafikan tiada perkara begini berlaku dan saya minta untuk membuat laporan polis ke balai berdekatan. Sarjan melarang keras saya pergi ke mana-mana balai kerana katanya saya akan direman kerana tidak memberi kerjasama kepada pihak polis. 

Ketika itu saya seperti tiada pilihan dan sarjan seprti memaksa saya mengaku perkara yang saya tidak buat. Katanya lagi dia boleh membantu saya asalkan saya tidak mendedahkan perkara ini kepada sesiapun termasuk suami. Saya cuba berdolak dalih dan sarjan seperti tidak berpuas hati kerana katanya saya cuba drag kan perkara ini terlalu lama. Bayangkan panggilan diterima dari jam 9.00 pagi dan sehingga jam 10.45 pagi masih tiada keputusan.

Saya risau dan rasa agak gementar ketika itu dan saya menangis. Sarjan itu meminta saya bertenang dan katanya saya ada dua pilihan untuk menyelesaikan masalah ini. 
  1. Reman 45 hari. Jika tidak bersalah akan dilepaskan
  2. Membayar wang jaminan sebanyak 5,000 dan jika tidak bersalah wang tersebut akan dikembalikan dalam masa 24 jam.

Saya memberitahu sarjan yang saya tiada duit namun dia suruh saya dapatkan juga. Dari situ (ALLAH membantu saya) saya seperti rasa pelik dan tersedar bahawa perkara ini seperti scam. Saya mula mempertikaikan caranya tetapi saya ditengking kerana cuba mengganggu proses pihak polis. 

Dalam saya menangis, saya melawan dan mempertikaikan bahawa pihak polis tidak berhak untuk menengking dan meninggikan suara. Saya menegaskan bahawa saya tidak boleh menerima cara begini dan saya perlu ada di balai polis untuk membela diri saya.

Sarjan cuba memujuk saya dan sekali lagi meminta saya bank in duit jaminan itu dan akan memberi saya nombor akaun personal auditor di Mahkamah. Sekali lagi saya pertikaikan, kenapa personal account? Saya minta untuk membuat bayaran di mana-mana mahkmah dan dia masih tidak berpuas hati. 

Saya menangis lagi dan saya tekankan bahawa saya ingin ke balai polis sekarang dan dengan nada yang tinggi, dia minta saya jangan matikan talian dan menyediakan 2 pasang baju kerana setibanya di balai polis dia akan meminta pihak balai untuk menahan saya.

Tanpa kata apa-apa, saya tinggalkan handphone di meja office dan keluar meminjam handphone staff saya untuk menghubungi suami. Masa tu air mata dah tak boleh dibendung lagi dan suami meminta saya bertenang sementara dia menyemak dengan kawan (polis). 

Saya pergi ke bilik semula dan melihat talian sudah pun terputus selepas 2 jam lebih disoal siasat. Saya membaca di ruangan WhatsApp dan ternampak satu nombor handphone 013-9668481 telah menghantar satu surat dari Mahkamah Persekutuan untuk membuat tangkapan terhadap saya. Selepas menunjukkan surat kepada suami, saya dinasihatkan untuk membuat laporan polis dan kes ini dianggap scammer/sindiket.



Untuk makluman semua, cara-cara yang mereka gunakan sangat real. Dari panggilan telefon, cara siasatan dan ketegasan mereka. Mungkin kerana saya tidak berapa tahu cara-cara anggota kita membuat siasatan. Jadi perkara sebegini sedikit sebyk mempengaruhi dan mudah dipercayai. 

Saya berharap perkara begini dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa dan tidak berlaku kepada sesiapa. Semoga kita dilindungi Allah SWT dan dijauhi daripada perkara-perkara begini. Allahai.. susah hati sungguh saya.  Wassalam.



from The Reporter http://ift.tt/2BBbQav
via IFTTT