'Kalau orang lain ni, dah lama aku tinggalkan' - Bapa geram niatnya nak berkahwin dua ditentang isteri
Baru mahu menaruh kepercayaan kepada suami, namun suami bagaikan tidak serik dan sekali lagi mengkhianati isteri dengan bermain cinta dengan isteri orang. Anak-anak yang terpaksa menyaksikan segala pergaduhan dan ketidaksefahaman ibu bapa mereka sedangkan pada ketika itu usia mereka masih kecil.
Walaupun begitu, si ibu dan empat anaknya masih tabah untuk bertahan dan cuba memperbaiki hubungan rumahtangga itu tanpa mengenal erti putus asa. Alhamdulillah, si suami bertaubat dan kembali ke pangkuan keluarga. Semoga menjadi pengajaran buat kita semua.
ASSALAMUALAIKUM semua. Saya selalu baca kisah-kisah rumah tangga hancur disebabkan orang ketiga. Saya nak berkongsi cerita dari kaca mata dan pandangan dari seorang anak.
Saya sudah berumur lebih 20 tahun. Saya anak sulung dari empat beradik. Ayah dan ibu saya ada masalah sejak saya berumur 19 tahun. Ayah bawa balik perempuan itu ke rumah sebab nak kenalkan dengan ibu.
Masa itu saya berada di universiti, masih belajar. Saya mendapat panggilan dari ibu yang menangis mengatkaan ayah bawa balik perempuan itu dan mahu berkahwin dengannya. Untuk pengetahuan semua, perempuan itu seorang GRO. Buat pertama kali dalam hidup saya menengking ayah dalam phone dan cakap ayah tak guna dan kenapa buat perangai.
Mereka bergaduh besar pada malam itu, ayah hampir nak menceraikan ibu. Ibu suruh ayah hantar balik perempuan itu sebab perempuan itu datang ke rumah dengan membawa beg, nak tidur di situ. Kasihan adik-adik saya yang berada di rumah pada waktu itu.
Ibu saya masih teringat kejadian itu sampai ke hari ini dan ada ayah juga ada terlanjur dengan perempuan itu. Dah bermacam-macam ibu usahakan, katanya dibuat orang. Jadi ibu maafkan ayah dengan alasan dibuat orang.
Selama dua tahun ibu tidak percaya dengan apa yang ayah buat di luar. Kami adik beradik dah tak gembira seperti dulu. Adik ketiga dan keempat masih berada dalam keadaan trauma dengan apa yang berlaku pada malam kejadian itu.
Selepas dari itu banyaklah sesi lari dari rumah. Ayah pernah cakap, kalau orang lain sudah lama ayah tinggalkan. Sampai satu tahap saya sangat benci pada ayah sebab dia menipu kami semua. Saya kadang-kadang dalam hati selalu minta ayah saya jatuh, dia dia menerima balasannya.
Saya selalu cakap dengan ibu, kalau ibu nak cerai, cerai saja. Saya boleh menjaganya. Tetapi ibu sayang sangat pada ayah. Ibu sampai sakit kerana terlalu tertekan bila memikirkan masalah ini.
Saya menyangka ayah sudah bertaubat dan tidak akan mengulangi perbuatannya lagi. Adik keempat menghubungi saya dan memaklumkan ayah buat perangai lagi. Phone ayah tak pernah renggang, outstation lama-lama dan tinggalkan ibu seorang diri di rumah. Bila diajak keluar, kami adik beradik dimarahnya pula.
Rupa-rupanya ayah buat hal dengan isteri orang. Ibu saya yang paling sedih dengan cerita ini. Sampai satu malam itu, adik saya call dan cakap ambil dia dari rumah. Dia nak lari rumah malam itu dengan ibu saya. Ayah sudah melampau sangat. Ibu baru nak percaya, ayah dah buat hal lagi.
Sampai sekarang ibu tidak tahu apa yang ayah mesej dengan betina berlaki itu. Hanya saya dan adik keempat saja yang tahu. Kasihan adik-adik saya. Bila time exam je, ayah buat hal. Time SPM je ayah buat hal. Time PMR je buat hal. Final exam di universiti pun buat hal.
Selalu adik kedua dan ketiga kena tempias sebab mereka sedang SPM. Tetapi saya kuatkan semangat nak menjaga adik-adik dan ibu kalau terjadi apa-apa suatu hari nanti. Ayah lupa diri selepas dah kaya. Masa susah tak nak ingat. Semua orang yang kenal rapat kata begitu dengan saya.
Saya bukan nak cakap apa, mental saya masih tak kuat, masih belajar tetapi saya sudah kena memikul beban keluarga. Saya tak tenang bila fikirkan hal keluarga. Saya alami kemurungan di universiti. Tapi tiada sesiapa yang tahu sebab saya perlu kuat di luar. Saya sayangkan keluarga saya, tetapi kaca yang pecah, kalau dicantum semula masih nampak rekahannya.
Kalau nak ikutkan, masih ada banyak lagi perkara yang saya belum ceritankan. Cuma satu saya pinta kepada perempuan yang tidak tahu malu dan adab untuk hidup di muka bumi ini. Jangan kacau rumah tangga orang. Saya sebagai anak sedih melihat keluarga sendiri porak peranda disebabkan seorang perempuan yang entah dari mana asal usulnya yang tiba-tiba nak menagih kasih sayang daripada ayah saya.
Jangan rosakkan keluarga orang lain, ada banyak lagi lelaki-lelaki di luar sana yang masih berstatus bujang.
Buat isteri, jagalah keluarga sendiri. Jangan nak gatal-gatal bermain cinta dengan suami orang. Hukum hakamnya sudah jelas bahawa perkara itu berdosa. Kenapa nak senang-senang serahkan diri masuk neraka? Allahu.
Untung saya sebab saya sudah dewasa apabila semua perkara ini terjadi. Saya sudah boleh berfikir apa yang baik dan buruk. Saya dah boleh menjaga ibu saya, adik-adik saya. Macam mana untuk anak-anak yang masih kecil? Tak kasihan ke? Tak kasihan ke kami yang berhak hidup gembira? Sebab perempuan-perempuan tak tahu malu inilah dunia takkan aman.
Saya tahu nanti ada yang akan berkata, "Entah-entah ayah kau yang mulakan dulu. Entah-entah ayah kau yang cari pasal". Kepada para suami, satu saja nak pesan. Apa-apa pun betulkan niat, kalau nak kerja, niat aku nak kerja mencari rezeki halal untuk keluarga aku. Jangan melencong, tetapkan batasan pergaulan. Jangan senang-senang biarkan diri itu di'abang'kan. Ingat isteri yang berada di sisi bila kita susah senang sentiasa bersama.
Ibu saya seorang yang pemaaf, sampai sekarang ibu masih sayangkan ayah. Saya cakap jujur, sejujurnya saya trauma nak berkahwin selepas melihat dan mengalami semua ini. Saya paling takut kalau saya dah kahwin, ada anak dan berlaku kejadian seperti ini. Tidak! Saya akan hentikannya walau apa sekali pun.
Alhamdulillah, sekarang semuanya sudah pulih. Ayah sudah berjanji tidak akan buat hal lagi. Saya harap perkara yang sama juga. Saya sudah bekerja, inshaAllah dalam keadaan perit susah seperti itu saya bakal menjadi peguam yang bertauliah nanti.
Dan kini saya kembali dengan misi baru. Ini adalah untuk mereka yang cuba mengatal atau mempunyai niat yang tidak baik dengan ayah saya yang mereka fikir mereka boleh berjaya melakukannya. Lupakan saja, saya akan cari awak dan buat awak menyesal. Saya akan gunakan undang-undang untuk menangani perkara ini. Berhenti dari mengganggu keluarga saya. Kerana awak akan menyesal di kemudian hari.
Dan untuk para isteri yang teraniaya, boleh pergi ke pejabat kaunseling atau pejabat agama untuk kaunseling. Kalau rasa tak tahan sangat, boleh saman pihak ketiga yang cuba mengganggu suami anda di mahkamah. Simpan semua bukti. Terima kasih semua.
Sumber: Kisah Rumah Tangga
from The Reporter http://ift.tt/2oplvgJ
via IFTTT