Seorang lelaki yang didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, dan seorang rakan subahatnya dalam kejadian itu dibelasah oleh orang ramai sehingga mati.
Dalam kejadian semalam di bandar Tezu, negeri Arunachal Pradesh, India, suspek utama Sanjay Sobor, 30, yang didakwa melakukan jenayah itu bersama rakannya, Jagdish Lohar, 25, diseret keluar dari lokap polis oleh orang awam dan kemudian dibelasah beramai-ramai di sebuah pasar.
Mayat kedua-dua lelaki terbabit kemudian dibuang di bulatan jalan dan kumpulan berkenaan bersurai sebelum polis tiba di tempat kejadian.
"Kejadian berlaku kira-kira jam 12.05 tengah hari apabila sekumpulan 1,000 orang menyerang lokap polis dan mengheret kedua-duanya keluar.
"Beberapa anggota polis turut cedera dalam kejadian itu," kata Timbalan Ketua Polis Arunachal Pradesh, Apur Bitin.
Polis kini mendaftarkan kes terbabit terhadap individu yang tidak dikenali sebagai kes bunuh dan siasatan sedang dijalankan. Sehingga kini, tiada sebarang penangkapap yang dibuat.
12 Februari lalu, kanak-kanak berkenaan telah diculik dua lelaki terbabit sebelum mayatnya ditemui lima hari kemudian. Susulan penemuan mayat mangsa, dua lelaki itu ditangkap dan direman pada Ahad lalu.
Lapor portal Northeast Now, Sanjay telah mengumpan mangsa ke taman teh tersebut dan merogolnya di situ. Apabila mangsa mula menangis, Sanjay bertindak memenggal kepala mangsa menggunakan parang milik Jagdish.
Menurut polis, Jagdish bagaimanapun tidak merogol mangsa tetapi meminjamkan parangnya kepada Sanjay untuk menamatkan riwayat kanak-kanak itu, malah juga membantu Sanjay melarikan diri dari kawasan itu.
Dalam siasatan awal polis, Sanjay telah mengaku dia menculik dan merogol mangsa serta membunuhnya menggunakan parang milik Jagdish.
Mayat mangsa ditemui dalam keadaan bogel dengan kepalanya dipenggal di sebuah taman teh yang terletak di belakang rumah ibu bapa mangsa.
Sumber: Harian Metro, Northeast Now
from The Reporter http://ift.tt/2oefC5N
via IFTTT