Tahniah Dato' Sri Siti Nurhaliza!


Dato' Sri Siti Nurhaliza dilaporkan telah selamat melahirkan anak perempuannya pada jam 8.17 pagi tadi. Berikut kenyataan rasmi dari pengurusnya yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi penyanyi berkenaan. 

Kenyataan Rasmi:

Dato’ Sri Siti Nurhaliza selamat melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di ibu kota, kira-kira jam 8.17 pagi.

Beliau melahirkan bayi seberat 3.55 kilogram itu secara pembedahan. Siti dan bayi berada dalam keadaan baik dan buat masa ini hanya membenarkan kaum keluarga terdekat saja untuk melawat.

Suami beliau, Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa melahirkan rasa syukur kerana segalanya telah selamat. Apa yang penting bagi beliau adalah proses melahirkan berjalan dengan baik, isteri dan anaknya juga sihat.

Siti dan suami juga ingin mengucapkan terima kasih di atas doa dan sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan, peminat dan juga pihak media sejak dari awal kehamilan sehinggalah melahirkan.

Pasangan ini memilih hari Isnin untuk kelahiran anak pertama mereka kerana bersamaan dengan hari kelahiran Nabi Muhammad (Rasulullah s.a.w) selain jatuh pada tarikh 1 Rejab.

Buat masa ini Siti mahu diberi ruang untuk berehat dan menumpukan perhatian pada hari-hari awal bergelar ibu.

Mengenai wajah dan nama anak, Siti dan Khalid meminta diberi sedikit masa sebelum mengumumkannya.

Rozi Abdul Razak
Pengurus


from The Reporter http://ift.tt/2GD7N1z
via IFTTT