'Bukan isteri tak bagi keluar, tetapi cukuplah sekadar ada dengannya di rumah'


Bila dah berkahwin, beringatlah bahawa tanggungjawab menguruskan rumah tangga adalah tanggungjawab bersama. Jangan fikir bila dah berkahwin, semua perkara nak diserahkan kepada isteri dan suami pula hanya duduk relaks, goyang kaki, kononnya dah penat mencari rezeki. Biasakan diri membantu pasangan anda walaupun hanya untuk perkara kecil.

Aktiviti-aktiviti atau hobi masa bujang, kurangkanlah. Luangkan masa bersama isteri dan anak-anak. Jika terasa mahu melakukannya, bawalah anak isteri bersama kerana ianya lebih seronok dan bahagia. Bayangkanlah jika isteri juga berperangai seperti suami kebanyakan yang gemar bermain game, melepak bagai, tak tenang hati dibuatnya. 

KITA sebagai suami ini, kadang-kadang kita tak sedar ada perkara yang kita buat yang isteri tidak suka. Cuba kita tukar tempat, isteri buat apa yang kita selalu buat. 

Kita balik kerja, tengok isteri di ruang tamu. Kita pergi dapur, tak ada makanan. Baju penuh dalam mesin basuh, rumah berselerak. Kita tanya isteri, "Awak tak buat apa-apa ke di rumah?". Isteri jawab, "Tak sempat bang, dari tadi saya sibuk dengan Mobile Legend ni. Nak attack. Nanti-nantilah saya buat. Abang pergilah tapau makanan di luar je.". 

Kita pulang dari kerja, tengah makan dan isteri cakap, "Abang makanlah dulu. Saya nak keluar melepak sekejap. Member ajak. Tidur dulu, tak payah tunggu saya balik. Lewat kot jap g. Saya bawa kunci rumah siap-siap."

Kita tengah relaks tengok televisyen dan isteri cakap, "Abang, hujung minggu ni saya dengan kawan-kawan nak pergi memancing. Tengah hari atau petang baru saya balik la. Abang jaga anak-anak jap. Nanti saya bawa balik ikan, kita buat masak stim. Tak pun masak tiga rasa."

Hujung minggu tengah sedap-sedap baca paper, isteri pakai helmet, jaket kulit. Bila kita tanya, "Nak ke mana tu?", isteri jawab, "Lupa nak beritahu abang, hari ini saya ikut konvoi motor naik Genting, turun Cameron Highlands, lalu Cherating. Pastu on the way balik singgah Hatyai. Abang nak kirim apa-apa tak?" 

Apa kita rasa? Kita mesti nak dia duduk di rumah dengan kita kan? Jaga anak, luang masa bersama-sama, buat kerja rumah bersama-sama, keluar berjalan-jalan, bersiar-siar dan sebagainya.

Begitulah apa yang isteri rasa. Bukan dia tak bagi kita main game, keluar, melepak, berkonvoi dan sebagainya. Tetapi berpada-padalah, jangan smapai kita melebihkan dan mengutamakan aktiviti luar lebih dari dia dan anak-anak. Dia pun memerlukan kita di rumah walaupun tak buat apa-apa. Tetapi cukup sekadar ada di rumah dengannya. Tak susah pun kan?



from The Reporter https://ift.tt/2H1A1Xj
via IFTTT