"Kami dah kena! Kami dah kena!" demikian tulis Sue Samat berhubung baki duit dalam akaun banknya, RM84.00 didakwa hilang begitu sahaja tanpa dapat dikesan.
Sue Samat melalui Facebooknya memuat naik status di Facebooknya yang memaklumkan baki duit dalam akaun banknya hanya tinggal RM6.39, berbanding RM84.00.
Menurut Sue, dia membuat pengeluaran secara berperingkat kerana bimbang dengan keselamatan wangnya dalam akaun bank selepas membaca beberapa status Facebook yang viral mendakwa wang simpanan mereka hilang secara tiba-tiba.
"Dua tiga hari asyik tengok orang viral tentang masalah itu. Hari ini berlaku pada diri sendiri. Tak sedap hati, itu yang nak pergi keluarkan semua wang simpanan.
"Selalunya tak pernah tinggalkan baki, tetapi bulan ini ada baki ditinggalkan. Jadi saya pun pergilah nak keluarkan semua wang simpan. Tetapi hampa," katanya selepas mendapati baki yang tinggal hanyalah RM6.39.
"Walaupun amaunnya sikit, tetapi jumlah itu besar bagi kami. Buta-buta kena telan. Tak sabar nak tunggu esok, nak pergi tanya.
"Withdrawal 15 April, 16 April dan 17 April. Tengoklah, saya kehilangan RM84.00. Dah tak selamat walaupun simpan dalam bank," katanya yang turut menasihatkan pengguna yang lain berhati-hati.
Sementara itu dalam laporan mStar Online Isnin lalu, seorang pengusaha kantin turut mendakwa wang pemberian Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (untuk menjalankan perniagaan kantin), yang disimpan dalam sebuah bank didapati hilang sedangkan dia tidak pernah membuat sebarang pengeluaran.
Norshamili Osman, 41, mendakwa wang RM1,000 itu hilang. Namun pihak bank berkata, dia sendiri yang memindahkan wang berkenaan ke akaun bank seorang wanita yang tidak dikenalinya.
Bagaimanapun, Norshamili menafikan dan mendakwa dia tidak pernah menggunakan perkhidmatan perbankan online.
"Saya tidak pernah menggunakan perbankan online dan nombor yang didaftarakan untuk melakukan pemindahan wang itu juga bukan nombor telefon saya.
"Bukankah kalau nak pindahkan duit memerlukan Kod Kebenaran Transaksi (TAC) dan ia akan dihantar ke nombor telefon pemilik akaun?" katanya.
Laporan polis juga telah dibuat namun tindakan itu tidak akan membantunya mendapatkan kembali wang tersebut dan pihak bank juga enggan memberikan kerjasama untuk menghubungi pemilik akaun yang memegang wangnya itu.
"Pihak bank ada memberikan nombor telefon wanita itu tetapi bila saya cuba menghubunginya, nombor itu sudah tiada dalam perkhidmatan," katanya.
from The Reporter https://ift.tt/2H8eWum
via IFTTT