Seorang mangsa rogol terkejut apabila dia diarahkan untuk membayar kos pemeriksaan perubatan sebanyak RM430 di sebuah hospital kerajaan, lapor New Straits Times (NST).
Terdahulu, remaja berusia 13 tahun itu dibawa ke hospital pada Januari lalu oleh anggota polis selepas mangsa membuat laporan polis berhubung kes rogol tersebut.
Selepas diperiksa, mangsa dimaklumkan bahawa dia perlu dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan lanjut. Pegawai perubatan ketika itu menjelaskan dia tidak dibenarkan pulang sehingga dia menjalani penilaian pisikologi untuk melengkapkan laporan pemeriksaan perubatan.
Selepas mangsa dibenarkan pulang, pihak pengurusan hospital meminta remaja berkenaan memberi salinan laporan polis agar dia dapat dikecualikan dari membayar bil perkhidmatan hospital.
"Saya telah serahkan dua salinan laporan polis yang dibuat kepada pihak hospital. Namun selepas tiga bulan kemudian, saya menerima bil dari hospital.
"Saya terkejut apabila bil itu dicaj ke atas nama saya, bukannya pada penjaga saya kerana saya masih berada di bawah tanggungan ibu bapa dan belum mencapai usia 18 tahun," katanya.
Menurut remaja berkenaan, bapanya merupakan warganegara tetapi dia masih belum mendapat kad pengenalannya yang menyebabkan dia dianggap sebagai bukan warganegara.
"Berlaku sedikit masalah ketika ayah mendaftarkan kelahiran saya yang kini menyebabkan saya tidak diiktirafkan sebagai warganegara.
"Tetapi, dua adik beradik saya mendapat status warganegara, sedangkan saya terpaksa menunggu selama dua tahun untuk permohonan kewarganegaraan saya diluluskan.
"Saya dilahirkan di Sabah, adakah saya tidak layak untuk menerima rawatan perubatan percuma?" soalnya.
Dalam laporan yang dibuat sebelum ini, mangsa telah didera oleh bapanya dan dia turut mendakwa pernah dirogol dan didera oleh sepupunya sejak mangsa berusia lima tahun. Kejadian itu disaksikan oleh adik lelaki mangsa berusia 7 tahun.
Menurut laporan, kejadian itu berlaku di Kunak, Sabah, apabila ibu bapa mangsa tiada di rumah.
Mangsa dan dua beradiknya kemudian dibawa ke Semenanjung Malaysia pada Oktober lalu berikutan kegagalan sebuah parti dalam membantunya menyelesaikan masalah itu.
24 Januari, mangsa bersama dengan penjaganya membuat laporan polis berhubung kejadian itu di IPD Sepang. Pemeriksaan doktor pakar Hospital Serdang mengesahkan terdapat luka lama di bahagian kemaluan mangsa.
Kes itu kemudian dirujuk kepada Polis Sabah.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika dihubungi berkata beliau akan mengkaji semula aduan itu.
from The Reporter https://ift.tt/2qXeEvz
via IFTTT