Anak-anak kecil pasti teruja setiap kali ibu dan bapanya membawa pulang barangan permainan. Mereka sudah pastinya bertambah gembira apabila permainan itu sama seperti ditayangkan di televisyen mahupun gajet. Walaupun harga barangan tersebut mahal atau murah, ada sesetengah kanak-kanak hanya bermain alatan permainan itu seketika sahaja.
Jika alat-alat permainan tersebut merupakan kenderaan atau bola, boleh dimaafkan. Tetapi, jika ia adalah patung atau boneka sebaiknya jangan dijadikan hiasan.
Dr Kamarul Ariffin berkongsikan di Twitter kejadian seram yang menimpa dirinya yang berpunca daripada kuda mainan milik anaknya. Pada mulanya, dia menyangkakan itu hanyalah perasaannya. Namun, selepas dua kali terkena kejadian yang sama, dia mula berasa tidak senang dengan gangguan tersebut.
ANAK atau adik kau orang ada banyak anak patung atau binatang mainan tak di rumah? Kalau ada, baca thread ni, supaya tak kena “gangguan” macam aku kena. Suatu malam, dalam jam 2 pagi, tekak aku haus bukan main. Jadi aku pun turun ke dapur.
Masa aku nak teguk air, aku terdengar bunyi macam ada orang hempaskan punggung atas sofa di ruang tamu. Aku terus terbantut nak minum. Aku letakkan gelas dan pergi tinjau di ruang tamu. Ruang tamu gelap. Nak buka lampu ruang tamu, malas kerana suisnya di belah depan. Jadi harapkan remang cahaya dari lampu dapur sahaja. Nampak tiada sesiapa di ruang tamu. Maka, aku ke dapur semula untuk minum.
Masa aku teguk air, tiba-tiba terdengar budak kecil gelak di ruang tamu.
“Adik?” aku panggil anak aku sambil melangkah ke ruang tamu. Tak nampak ada sesiapa di sana, tapi kali ni aku tak mudah puas hati. Manalah tahu anak aku main sorok-sorok. Aku jalan merentasi ruang tamu yang gelap tu untuk ke suis lampu.
Klik! Cahaya menerangi ruang tamu. Silau. Jadi aku kerutkan dahi dan sepetkan mata. Dalam terkebil-kebil tu aku periksa belakang sofa, di sebalik kabinet TV dan di sebalik langsir.
PEH! Berhenti jantung aku sedetik bila nampak apa ada belakang langsir!
Boleh pula ada ular mainan anak aku di belakang langsir ni. Dah la aku fobia dengan ular. Hish! buat terkejut je! Ni mesti kerja anak aku yang berumur tiga tahun tu.
Geram punya pasal, aku sepak ular plastik tu sampai terpelanting ia ke tepi kabinet TV. Selepas tu aku sambung tinjau-tinjau lagi, tak ada apa-apa yang mencurigakan. Jadi aku tutup semula lampu ruang tamu dan jalan naik balik ke bilik. Masa naik tangga, aku dengar lagi suara budak gelak di ruang tamu.
Aku toleh belakang. Bila aku nampak apa yang ada di bawah, jantung aku macam nak meletup! Kaki aku lemah, tapi aku kuatkan juga semangat dan lari naik ke atas. Aku masuk bilik, tengok anak bini aku ada atas katil.
Habis, siapa letak benda alah tu di situ? Ke aku salah tengok? Khayalan aku je agaknya. Sebab tak puas hati, aku pergi balik ke tangga untuk periksa! Ternyata benda tu ada di situ. Meremang bulu roma aku. Aku ambil gambar untuk sahkan bukan mata aku yang salah.
Ni gambarnya. Kau tengok mata dia. Peh seram! Aku beli benda alah bouncy hopper ni untuk anak aku, sebab katanya ia bagus untuk train vestibular function budak kecil. Kira penting untuk latih keseimbangan mereka. Lagi pun anak aku memang suka sangat pada binatang. Masa aku kata aku bawa balik mainan, anak aku teruja sangat, tapi bila aku keluarkan kuda ni dari kotak, dia terus menangis ketakutan.
Tak sangka pula dia akan takut macam tu sekali. Mungkin sebab warna kuda ni merah. Biasanya di dalam buku, kuda kan warna coklat atau putih.
Oleh kerana anak aku tak suka, kuda ni aku letak di tepi kabinet TV. Aku letak dekat anak aku selalu main di kawasan depan TV tu. Mana tahu satu hari dia hilang rasa takut dan nak cuba tunggang, senang dia nak ambil.
Malangnya lepas seminggu, dia masih tak sentuh pun kuda yang aku beli untuk dia tu. Kuda tu jadi tukun je di sebelah TV. Jadi macam barang perhiasan.
Di mana aku letak benda tu sebelum ni, kat situlah benda tu lepas seminggu. Tak berganjak langsung. Malah, masa aku sepak ular plastik anak aku ke tepi kabinet TV, aku perasan kuda tu masih di situ. Sekarang, macam mana boleh ada di depan tangga pula? Siapa alihkan? Tak ada orang di tingkat bawah. Anak bini aku semua ada di bilik atas. Itu insiden pertama. Selepas itu, ada lagi benda aneh berlaku.
Kali ini lebih menakutkan. Aku tengah tidur. Telefon aku bergetar bertalu-talu, lantas buat aku terjaga. Masa toleh ke sisi untuk capai telefon aku dari atas meja lampu tidur, aku tersentak. Kuda merah tu atas meja lampu tidur. Mukanya betul-betul menghadap muka aku, dan disinari lampu skrin telefon aku yang berada di atas lantai. Mata dia yang terjegil tu buat aku tak boleh tidur sampai pagi.Aku tak rasa anak aku yang letak situ. Dia pun takut dengan kuda tu.
Esoknya, aku humban kuda tu dalam stor bawah tangga. Kunci. Setelah itu, tiada gangguan yang ketara.
Cuma aku masih rasa tak selesa bila berada di rumah. Rasa serba tak kena. Jadi, suatu hari tu, aku beritahu kawan aku. Dia beri nasihat, yang berjaya selesaikan masalah aku.
“Kamarul, apa-apa patung, jangan sesekali kita simpan jika kita tak guna dia sebagai permainan. Jangan letak patung di tempat tinggi. Jangan simpan dalam kotak atau almari berkaca. Jika tidak, kita dianggap puja patung tu, dan patung yang dipuja akan dihuni makhluk halus.”
“Jangan muliakannya. Biar kotor. Biar ada cela. Kalau tak mahu main, sedekahnya kepada yang nak main. Lagipun itulah tujuan ia dicipta, untuk dimain”
“Oh ya! Jangan sesekali kita takut pada mainan. Nanti syaitan akan ambil kesempatan untuk memesongkan dan melemahkan iman kita.”
Balik rumah aku keluarkan kuda merah tu aku dari stor dan belasah dia cukup-cukup. Aku ajak anak aku main sepak-sepak kuda tu. Lepas tu aku ambil marker, suruh anak aku conteng. Anak aku jadi seronok pula. Patung-patung mainan yang tak anak aku dah tak main, aku sedekahkan.
Semenjak tu, rumah aku tenteram. Tak ada lagi gangguan. Kuda merah tu masih ada dalam rumah aku. Cuma dah comot, hitam-hitam, dan muka dan badannya ada conteng-conteng.
Anak aku pun dah tak takut dengan kuda tu. Dah jadi bahan belasahan dia. Ni gambar anak aku tunggang kuda merah tu.
Jadi, pesanlah pada semua—Mainan adalah untuk dimain, jangan simpan sebagai perhiasan.
Sumber : Kamarul Ariffin @dr_chaku
from The Reporter https://ift.tt/2F4eMOV
via IFTTT