'Sakitnya lebih perit dari azab nak bersalin' - Akibat melanggar pantang bersalin, wanita ini rasa sakit nak mati


Berpantang selepas bersalin bukan sahaja sinonim dengan masyarakat Melayu, malahan amalan berpantang ini juga dipercayai oleh masyarakt luar yang lain. Amalan berpantang ini dipercayai dapat mengembalikan tenaga ibu yang bersalin. Walaupun perubatan moden menafikan kebaikan amalan berpantang yang telah diperturunkan oleh nenek moyang kita, masih terdapat lagi ibu yang baru bersalin mengamalkan amalan berpantang ini. 

Ramai yang berkata, pesanan orang-orang tua usah dipertikai lebih-lebih lagi apabila berkait rapat dengan ilmu berpantang. Zeeda Aziz antara individu yang mengalami sakit badan setelah melanggar pantang larang ketika bersalin anak kedua dan ketiga. Selepas kejadian tersebut berlaku, dia mula rasa menyesal. Baginya, terpulang kepada individu samada mahu mempercayai atau tidak amalan berpantang ini.

BERCAKAP pasal pantang waktu bersalin ni kan, ramai doktor pakar mengecam tradisi berpantang dan elak makan makanan yang tertentu. Dulu saya pun berfikiran begitu. Berada di bidang sains ni, automatik kepala pun berkiblatkan perubatan moden dan kajian saintifik lah katakan.

Kalau kajian mengatakan berpantang makan tu mengarut, maka saya pun berpeganglah pada itu. Pesanan orang lama yang 'sekolah tak tinggi' ni, saya tepis atas bahu je. Ilmu mereka baseless kononnya. Saya terlupa, ilmu tu seluas lautan. Setiap manusia cuma dapat setitik sahaja.

Kalau Allah nak kita percayakan sesuatu (especially orang yang skeptikal macam saya ni), diberi kita rasa sendiri. A taste of your own medicine.

Kisahnya begini. Dalam pantang anak kedua, saya punya lah dahaga air ais. Hangpa tau kan Kedah hangat lagu mana? Hangat lit lit! Bangun pagi sebelum bidan datang mengurut, senyap-senyap saya buka peti ais, ambil air sejuk minum seteguk. SETEGUK JE BHAI! Buat lega tekak.

Tak sampai setengah jam, badan mula rasa nyeri bagai racun bisa merayap dalam badan. Takut nak cakap kat sesiapa especially pada mak. Mesti kena leter teruk. 

Kemudian bidan pun sampai. Selepas mengurut, dia siapkan air mandian herba (pandan+halia+lengkuas+serai). Siapa pun tak tahu yang saya dah langgar pantang. Zip mulut rapat-rapat! Di dalam bilik air, air panas tu dah rasa macam air ais sejuknya. Gigi mula mengetap. Ketap yang macam bunyi ketuk pintu. Tap tap tap laju. Aduh, macam mana nak keluar bilik air ni. Nanti kena marah, tentu dah.

Punyalah saya tahan mulut tu dari berbunyi, keluar dari bilik air je, bidan sergah. 

"Kamu ada makan apa tadi??"

"Err..err.."

"Minum ais...kkkkk....sikit je..kkkk..seteguk je....kkkk" (kkk tu bunyi gigi berlaga sebab sejuk).

Seperti yang dijangka, telinga kena tadah. Bisa ais tu dah menjalar ke satu badan, sakitnya lebih perit dari azab nak bersalin. Terasa belakang badan ni bagai dipukul cemati. Saya masih lagi dengan perangai orang muda yang tak nak dengar nasihat orang tua. Konon moden, konon pandai, belajar tinggi. Orang tua tak faham sains. Buat apa dengar.

Jadi saya ulang kedegilan yang sama ketika berpantang anak ketiga. Walaupun saya serik curi minum ais, tapi saya cuba makan ikan patin masak tempoyak. Wohaii sedapnya laaa. Ikan patin Sungai Pahang, sapa boleh menolak? Makan tu sedap menjilat jari. 

Tapi selang beberapa jam selepas makan, bisa mula menjalar satu badan. Sakit kali ni lebih sakit dari episod minum air ais. Tiga hari badan saya mengerekot macam tenggiling. Nak menyusu pun siksa.

Urut tak hilang, mandi air halia pun tak hilang. Sakit rasa nak mati. Hari keempat menderita, rasanya dah tak sanggup lagi. Dengan berstokin (kali ni baru nak dengar cakap orang tua), saya start kereta cari kedai sinseh.

"Tauke. Saya ni dalam pantang bersalin. Badan bisa sakit sangat. Ada ubat herba tak? Sudah tak boleh tahan ni.”

Diberinya saya sekotak herba mandian jenama TYT untuk dicuba. Kotak warna hijau, harga tak ingat berapa.

Selepas balik dari kedai tu, saya renehkan pek herba mandian tu dan berdoa semoga kesakitan saya tu dihilangkan sekali dengan kedegilan yang melampau ni. Alhamdulillah, lepas mandi memang hilang rasa perit badan tu.

Ha... pandai sangat kan? Padan dengan muka. Baru tahu erti penyesalan. Dah besar-besar gini mak tak boleh pukul, tapi Allah masih boleh ajar kerana kebongkakkan kita dengan ilmu yang tak setara mana.

Ya betul, lain orang lain pantangnya. Tapi ada baiknya hormati ilmu orang lama. Cara mereka menuntut ilmu bukan konvensional seperti kita. Pergi sekolah, masuk universiti. Cara mereka ialah belajar dari pemantauan, pengalaman, nasihat dari orang yang lebih tua.

Kita pun nak belajar masak yang sedap bukannya kena masuk universiti. Kita belajar dari mak, mak kita pula dulunya belajar dari mak dia. Begitulah.

Nak pegang sains, tak ada masalah. Saya pun dulu taksub. Tetapi ketaksuban itu berubah setelah didewasakan oleh pengalaman. Ramai yang masih berpegang kepada amalan berpantang. Tak kurang juga yang menentang. Ianya pilihan peribadi. Tak ada paksaan dari mana-mana pihak.

Tips yang perlu diingat adalah, bersederhana. Ambil nasihat doktor sikit, nasihat orang tua sikit. Selagi ianya tak memudaratkan. Amalan berpantang orang Melayu cukup unik dan perlu diperturunkan juga sedikit supaya tradisi kemelayuan kita yang cantik ini dapat dikekalkan.

Sumber: Zeeda Aziz


from The Reporter https://ift.tt/2r7Iiio
via IFTTT