'Saya kata pump fuel ten ($10), bukan pump full tank ' - Driver BMW enggan bayar duit petrol RM370, salahkan kecuaian pekerja Caltex
Jika seseorang individu itu mampu memiliki kereta mewah, sudah tentu dia juga mempunyai wang yang banyak untuk dibelanjakan pada keretanya. Namun dalam kejadian baru-baru ini yang viral di media sosial, seorang pemandu kereta BMW, enggan membayar petrol yang telah dipam pada keretanya, lapor World of Buzz.
Dalam catatan Facebook yang dimuat naik oleh wanita warga Singapura, Kelly Yeo, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam dua petang di Caltex Tampines Avenue, pada 14 April lalu.
Ketika kejadian, Kelly terdengar perbalahan di antara pemandu BMW terbabit dengan kakitangan stesen tersebut.
Apabila juruwang meminta pemandu itu membayar S$135 (RM400) untuk minyak diisi penuh pada kereta BMW 5 Series, pemandu terbabit mendakwa dia hanya meminta kakitangan stesen itu mengisi S$10 (RM29), "Pump fuel ten".
Bagaimanapun, kakitangan dianggarkan berusia 60 tahun yang melayani pemandu itu memaklumkan kepada juruwang berkenaan bahawa lelaki itu berkata "Pump full tank".
"Dia jelaskan apa yang didengarinya pada masa itu, isi minyak penuh tetapi lelaki itu cepat-cepat menafikannya.
"Apa yang berlaku seterusnya membuatkan saya terkejut. Kakitangan itu enggan memperbesarkan kes itu dan akhirnya mengalah dan memaklumkan kepada juruwang untuk menerima saja bayaran S$10 (RM29) dari lelaki itu dan dia akan menanggung bakinya sebanyak RM370.
"Akhirnya, lelaki itu beredar dan hanya membayar S$10 sahaja untuk isian minyak penuh pada kenderaan mewahnya itu," kata Kelly.
Kelly juga memuji tindakan profesional dua kakitangan berkenaan yang bersabar melayani karenah lelaki terbabit meskipun terpaksa menanggung kerugian yang banyak.
Katanya lagi, tiada salahnya sekiranya lelaki itu membayar saja amaun yang telah dikenakan kerana kenderaannya itu juga tetap akan diisi dengan petrol pada hari-hari mendatang.
Sementara itu, netizen terkejut dengan sikap pemandu BMW terbabit yang sanggup memperdayakan kakitangan berkenaan yang berpendapatan S$1,600 (lebih kurang RM4,700) sebulan untuk membayar petrolnya.
Caltex Singapura dalam satu kenyataannya menjelaskan, siasatan mendapati kakitangan terbabit tidak menanggung sebarang kerugian. Laman Mothership pula melaporkan ada seseorang individu telah datang untuk membayar baki tersebut, namun tidak didedahkan identitinya.
Walaupun begitu, tampil seorang netizen mendakwa lelaki itu kerap melakukan perbuatan itu dengan modus operandi yang sama semata-mata mahu mendapatkan petrol percuma.
from The Reporter https://ift.tt/2qAsSTz
via IFTTT